A&W akan buka tujuh lagi cawangan tahun ini
A&W (Malaysia) Sdn Bhd akan membuka tujuh cawangan baharu tahun ini bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai restoran perkhidmatan segera (QSR).
Ketua Operasinya, Mohd Hasmadi Zainal berkata, buat masa ini pihaknya akan membuka dua cawangan di Paradigm Mall, Johor dan Evomall, Bangi menjelang akhir bulan ini.
"Untuk lima lagi cawangan baharu berkonsepkan pandu lalu, dijangka ditempatkan di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor yang mana masing-masing sebuah cawangan manakala di Kuala Lumpur akan ada dua cawangan.
"Dengan penambahan kesemua cawangan terbabit pada akhir tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan outlet A&W sebanyak 48 buah," katanya pada sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan La Mole Burger di A&W Kota Damansara di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama, Ketua Bahagian Pemasaran A&W Malaysia, Norashekin Yusof.
Mohd Hasmadi berkata, sememangnya bandar-bandar utama menjadi pilihan dan pihaknya menjangkakan akan membuka lebih banyak cawangan pada 2019.
Sementara itu, bercakap mengenai majlis berkenaan, katanya A&W telah memberi ganjaran kepada 30 pelanggan bertuah yang memenangi pertandingan La Mole Burger dengan hadiah bernilai RM10,000.
"Promo dan pertandingan pertama kali dilancarkan pada 6 Mac lalu memerlukan peserta mengumpul semua pelekat setelah membeli La Mole Burger pada harga serendah RM9.80 kemudian mereka perlu membuat slogan mencerminkan keunikan rasa La Mole Burger.
"Kami telah menerima lebih 500 penyertaan di 41 outlet A&W Malaysia di Semenanjung Malaysia. Daripada banyak penyertaan itu, Mohd Hizami Abd Jalil menyampaikan slogan yang paling kreatif dan telah memenangi hadiah utama skuter Honda Beat.
"Kami gembira dengan sambutan hangat dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peserta," katanya sambil memberitahu ini salah satu cara menunjukkan penghargaan kepada pelanggan setia sepanjang tahun ini.
"Pertandingan dan promosi lebih menarik akan diadakan pada tahun ini. Kami berharap untuk sokongan berterusan para pelanggan," katanya.
Hadiah lain yang disampaikan pada majlis itu ialah 10 Ukeleles kepada pemenang undian bertuah dan baucar tunai A&W bernilai RM100 setiap satu untuk hadiah penghiburan.
Pada yang sama, A&W Malaysia telah memperkenalkan 'Cool Classics' yang menawarkan produk asal A&W seperti burger ayam, burger keju dan Golden Aroma Ayam pada harga combo RM15.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment