Rahsia di sebalik tugu lama
ALOR SETAR - Kewujudan bongkah batu besar di sebelah utara Jambatan Sultan Abdul Halim, di sini, mungkin dianggap biasa bagi penduduk tempatan.
Sekali imbas ia nampak seperti batu biasa dengan tiga lapisan, bagaimanapun siapa sangka ia memiliki kisah sejarah tersendiri.
Terletak bersebelahan Kompleks Pelancongan Negeri Kedah, bongkah batu itu sebenarnya adalah sebuah tugu lama.
Namun, kewujudan Tugu Jepun disebalik pokok buluh yang memiliki kisah itu dipercayai kurang diketahui orang awam.
Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Wan Shamsuddin berkata, tugu lama itu merupakan penghargaan kepada tiga tentera Jepun.
Kata beliau, tugu itu dibina demi mengenangkan keberanian tiga wira Jepun menawan Alor Setar pada 13 Disember 1941.
âPada 13 Disember itu, tentera Jepun menawan Alor Setar selepas mendarat di Singgora, Thailand kira-kira lima hari hari sebelumnya.
âSelain itu, tentera Jepun berjaya mengalahkan barisan pertahanan pertama tentera terikat-British dan India dari Divisi Kelima antara Changlun dan Jitra pada 11 Disember 1941,â katanya.
Katanya, matlamat tentera Jepun seterusnya ialah menawan Jambatan Utama Sungai Kedah.
âKomandar Platon Leftenan Hajima Asahi menunggang sebuah motosikal meluru ke jambatan itu di sebelah utara untuk menawannya kira-kira jam 10.10 pagi, 13 Disember,â katanya.
Katanya, Leftenan Hajima Asahi cuba memutuskan wayar bom pemusnah pihak musuh, namun pada masa sama bom itu meletup dan membunuhnya.
Menurutnya, dua rakannya dari pasukan sama gugur di situ, sementara Koperal Nakayama mengalami kecederaan parah terkena bom dipasang British ketika menawan Alor Setar.
Tambahnya, seluruh jambatan itu akhirnya dapat ditawan, selepas rakan mereka datang membantu dengan membuat tembakan bertalu-talu.
âPada 15 Februari 1941, sempena dengan kejatuhan Singapura, Pemerintah Tertinggi Tentera Jepun bagi Asia Tentera, Jeneral Tomoyaki Yamashita menganugerahkan sijil penghargaan yang mengisahkan perjuangan nekad tentera Regimen Infantri 11 ketika menawan jambatan itu,â katanya.
Beliau berkata, Tugu Jepun itu memiliki nilai pelancongan mampu menarik pelancong, namun ia kurang diberi perhatian.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya berharap kerja memelihara, memulihara dan memperindah Tugu Jepun dilaksanakan.
Bagaimanapun, katanya, cadangan itu bukanlah menyanjung keberanian dan tindakan tentera Jepun menawan Bandar Alor Setar itu, sebaliknya ia perlu dinilai dari sudut lain.
âSaya mendapat ilham ini selepas melawat anak di Hawai apabila mendapati kapal perang Jepun dijadikan muzium dengan memahatkan nama tentera terkorban dalam peperangan untuk tatapan pelancong,â katanya.
Menurutnya, ramai pelancong khususnya dari Jepun mengambil kesempatan melawat muzium itu untuk melihat keberanian tentera melakukan kamikaze (berani mati)
Sementara itu, Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Shinichiro Kanoya berkata, pihaknya menyokong usaha memulihara dan memelihara Tugu Jepun itu.
Katanya, beliau berpendapat adalah tidak wajar membiarkan Tugu Jepun yang dibina bersempena memperingati keberanian tentera Jepun itu dibiarkan tanpa perhatian.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya sedia memberi peruntukan bajet.
Manakala, Konsul Konsulat Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Kenji Yamakawa berkata, pihaknya berharap kerja memulihara dapat disiapkan pada November supaya tugu itu dapat dirasmikan Disember ini.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment