Perlu khemah, air bersih

Wednesday, August 15, 2018

Perlu khemah, air bersih

Perlu khemah, air bersih

LOMBOK - Prihatin atas penderitaan mangsa gempa bumi di Lombok, Indonesia, Sinar Harian turut memberi komitmen dengan menjayakan pungutan sumbangan derma melalui Tabung #sinarpedulilombok.

Setakat ini tabung berkenaan berjaya mengumpul RM50,000 dan disalurkan kepada mangsa melalui rakan pelaksana, Akademi Quran Learning (AQL) Peduli.

Pengerusi AQL Jakarta, Bachtiar Nasir berkata, pihaknya telah bergerak pantas dengan membantu mangsa gempa di beberapa kawasan termasuk Lombok Utara, Nusa Tenggara Barat.

Beliau berkata, melalui satu kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Pusat Data, Informasi dan Hubungan Masyarakat, Badan Nasional dan Penanggulangan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho, hampir 75 peratus rumah dan bangunan runtuh dan rosak.

“AQL Peduli membuat kem penempatan di Daerah Sambalie, Kampung Ketapang yang mempunyai kira-kira 600 penduduk.

"Di kem ini sahaja AQL Peduli menyalurkan bantuan seperti keperluan makan minum dan peralatan untuk tidur," katanya kepada Sinar Harian.

Korban akibat gempa bumi itu kini meningkat kepada 436 orang, dan dijangka terus bertambah ketika operasi mengesan mangsa di runtuhan rumah dan bangunan masih dijalankan.

Dilaporkan 67,875 unit rumah musnah manakala 606 sekolah, tiga hospital dan 10 pusat kesihatan serta 15 masjid dilaporkan rosak.

Bencana itu turut meragut nyawa seorang rakyat Malaysia, Siti Nur Ismawida, 30, akibat dihempap runtuhan rumah yang musnah di kaki Gunung Rinjani selepas melakukan aktiviti mendaki bersama kumpulannya.

Bachtiar berkata, bencana yang menimpa masyarakat Lombok itu amat menyedihkan.

“Bangunan runtuh, suara tangisan anak-anak, dan kesedihan masyarakat tergambar jelas di setiap pelusuk kampung. Tidak hanya itu, bekalan elektrik terputus, akses jalan darat lumpuh kerana tertimbus serta banyak jambatan runtuh,” katanya.

Kata Bachtiar, antara barangan yang masih diperlukan adalah khemah, peralatan memasak, bahan keperluan makanan, termasuk bekalan air bersih.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, tabung itu digerakkan bagi mengumpulkan dana untuk disalurkan kepada jiran serumpun kerana mereka sangat memerlukan bantuan seperti makanan, air bersih dan tempat berlindung lebih selesa.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 564276529068 di atas nama Sinar Karangkraf Sdn Bhd.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment