'Kopi peluntur' hanya testimoni

Wednesday, August 15, 2018

'Kopi peluntur' hanya testimoni

'Kopi peluntur' hanya testimoni

GUA MUSANG - Pengasas kopi yang didakwa dicampur bahan peluntur menafikan produknya itu perlu dicampur terlebih dahulu sebelum diminum.

Katanya, video yang tular itu hanyalah testimoni dimana ia hanyalah untuk membuktikan ramuan herba yang terdapat dalam kopi itu anti racun dan boleh meneutralkan cecair peluntur.

"Saya mengakui bahawa ada mengikuti penjual dan stokis di Perumahan Taman Agropolitan Rantau Manis pada Selasa lalu, untuk membuat demonstrasi keberkesanan kopi.

"Namun, saya juga turut meminum campuran berkenaan terlebih dahulu dan tiada paksaan untuk orang lain minum campuran itu.

"Saya tidak pernah memberitahu kopi ini perlu dicampur cecair peluntur sebelum diminum dan turut berpesan supaya tidak melakukan aksi berkenaan di rumah kerana ia hanya demo," katanya ketika ditemui.

Menurut pengasas yang berasal dari Pasir Mas ini, sejak kisah seorang suri rumah nyaris maut selepas meminum campuran kopi anti racun dicampur peluntur, pelbagai kecaman telah diterima.

"Saya mengusahakan kopi ini sejak beberapa bulan lalu dan ribuan pengguna menunjukkan kesan yang positif dari penyakit yang dialami sebelum ini.

"Kopi saya hanya mempunyai kandungan herba dan tidak perlu dicampur bahan lain untuk diminum. Ini adalah kejadian pertama dimana produk kami dituduh produk sampah dan sebagainya.

"Sejak berita itu tular, produk kami terjejas dari segi jualan dan ia memberi kesan negatif kepada perniagaan saya," katanya.

Tambahnya lagi, dia sedia memaafkan wanita terbabit sekiranya tampil memberi penjelasan bahawa tindak balas yang berlaku bukan disebabkan kopi berkenaan.

"Saya terkejut bila berita ini tular kerana pada hari Rabu, wanita berkenaan menghantar testimoni melalui aplikasi Whatsapp, mengenai masalah dalamannya lebih baik selepas meminum kopi itu.

"Tidak sangka pula selepas itu dia membuat tuduhan mengenai kopi saya selepas memberi testimoni berkenaan.

"Kalau boleh saya tidak mahu panjangkan isu ini kerana ia akan merumitkan lagi keadaan. Cuma saya mohon wanita berkenaan tampil memohon maaf bagi membersihkan semula nama produk saya," katanya yang turut menunjukkan Skim Pensijilan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) yang diperolehi.

Terdahulu, seorang suri rumah nyaris maut apabila didakwa mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke hospital selepas beberapa jam minum kopi yang dicampur cecair peluntur.

Mangsa, Siti Hajar Abdullah, 30, dari Taman Agropolitan Rantau Manis, berkata, dia memberanikan diri mencuba campuran berkenaan selepas diberitahu ia adalah sejenis kopi antiracun.

Kata ibu kepada empat anak ini, dia terpengaruh dengan keberkesanan kopi tersebut kerana sebelum ini disahkan menghidap komplikasi penyakit termasuk buah pinggang, jantung, darah tinggi dan bengkak hati.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment