Peneroka Felda tuntut janji PH
GUA MUSANG - Kerajaan diminta menunaikan janji menghapuskan hutang peneroka Felda sepertimana yang dijanjikan dalam manifesto PH pada PRU14 lalu.
Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Kelantan, Mohd Norfazly Mohd Daud berkata, janji yang disenaraikan dalam tempoh 100 hari pemerintahan itu masih belum tertunai.
Menurutnya, walaupun tempoh 100 hari bakal berakhir, peneroka masih menunggu janji berkenaan daripada pemerintahan baharu.
"Peneroka menuntut janji berkenaan kerana hutang semakin tinggi. Mereka bimbang memandangkan rata-rata peneroka sudah semakin berusia.
"Janji yang disenaraikan dalam manifesto itu cukup menarik kerana itulah masalah utama yang membelenggu peneroka hingga kini.
"Malah, hutang yang ada tidak mudah untuk dilangsaikan dalam usia mereka dan akan ditanggung generasi kedua dan seterusnya," katanya.
Bagi peneroka Felda Aring 1, Ruzelan Romli, dia memohon kerajaan supaya mempertimbangkan separuh daripada pinjaman sara hidup dilupuskan.
Katanya, untuk 100 peratus itu, dia kurang yakin kerajaan mampu menunaikannya dan cukup sekiranya 40 peratus sahaja.
"Rata-rata purata pinjaman peneroka di antara RM80,000 hingga RM100,000. Kalau separuh atau 40 peratus daripadanya, ia sudah memadai.
"Untuk menyelesaikan kesemua jumlah itu, ia adalah satu perkara yang mustahil kerana kami golongan peneroka semakin dimamah usia dan akan menanggung hutang seumur hidup.
"Selain itu, kita mohon agar hutang kos pembangunan tanam semula dihapuskan. Setiap peneroka menanggung kos berkenaan kira-kira RM40,000," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment