Jawapan kepada Faisal Tehrani

Tuesday, August 14, 2018

Jawapan kepada Faisal Tehrani

Jawapan kepada Faisal Tehrani

SAYA merujuk kepada tulisan Faisal Tehrani yang disiarkan pada 3 Ogos lalu di sebuah portal berita, FMT bertajuk 'Al-Quran yang ditangisi Dr Mahathir'.

Sejujurnya saya tidak mengenali Faisal atau Dr Mohd Faisal Musa ini secara dekat namun saya sering mengikuti penulisannya, khususnya dalam hal berkaitan dengan agama.

Adakalanya saya bersetuju dengan buah fikiran yang dilontarkannya walaupun kadang-kadang tidak sejajar atau seiring dengan pemikiran arus perdana.

Adakalanya saya tidak bersetuju dengan pendirian atau pendekatan yang diambilnya. Semua itu tidak menjadi satu kepelikan kerana ia adalah satu fitrah manusia untuk bersetuju atau tidak bersetuju apabila kita mengadakan wacana intelektual.

Saya menganggap Faisal sebagai seorang intelektual yang kontroversi, yang mampu berfikir di luar kotak dan kerangka biasa serta tidak gentar untuk mencetus serta melontarkan idea-idea baharu kepada masyarakat sebagai bahan untuk difikir dan direnungi bersama. Dan, beliau juga tidak takut untuk berbicara atau berdebat secara terbuka dengan mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengannya.

Sasterawan Negara, Datuk Anwar Ridhwan pernah menyebut bahawa Faisal adalah seorang penulis yang 'conscious of high literature and full of vision'. Pemikiran dan idea-idea yang dilontarkan oleh Faisal kadang-kala menimbul kontroversi dan sering menjadi bahan pertikaian.

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Maza) pernah berkata bahawa melalui penulisannya, Faisal cuba menyebar fahaman syiah. Bagi penulis, Dr Maza adalah ilmuwan dan sarjana agama yang paling unggul di negara kita dewasa ini. Datuk Dr Fathul Bari pula menyelar Faisal sebagai pengarang syiah. Syiah yang dianggap bertentangan dengan Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan dikira songsang.

Nukilan berkenaan

Dalam nukilan tersebut di atas, Faisal membangkitkan beberapa isu yang menarik. Antaranya, beliau bersetuju dengan Tun M dalam gesaan kepada agamawan untuk kembali kepada ajaran al-Quran dan berhati-hati dengan hadis-hadis palsu, yang bertentangan ataupun tak sejajar dengan firman ALLAH SWT.

Namun begitu, beliau juga mahu Tun M berhati-hati dengan agamawan-agamawan tersebut kerana mereka juga adalah sebahagian daripada punca kepada masalah yang melanda ummah hari ini.

Berulang kali beliau mengingatkan agar Tun M berhati-hati bila 'merintih dan menangis'. Kerana katanya, agamawan-agamawan ini 'membawa dan mempercayai pelbagai jenis tafsiran untuk al-Quran yang satu' sehingga menimbulkan kekeliruan kepada ramai penganut ajaran Islam di Malaysia.

Faisal mengakui bahawa usaha Tun M untuk mengajak dan membawa umat Islam kepada al-Quran adalah sesuatu yang mulia dan terpuji. Namun dia mengingatkan Tun M bahawa cabarannya amat getir, sukar dan mengambil masa yang panjang untuk berhasil.

Bila menilai peranan agamawan dalam usaha untuk mendaulatkan Islam sebagai agama yang syumul, Faisal mempersoalkan ketepatan tafsiran al-Quran oleh mereka dan kecenderungan segelintir daripada mereka untuk merujuk kepada hadis-hadis sebagai nas-nas atau hujah-hujah sokongan untuk memperkukuhkan tafsiran atau pendirian mereka.

Apa yang mendukacitakan Faisal ialah sebahagian daripada hadis-hadis tersebut adalah palsu, daif, tidak seiring dengan al-Quran, malah  kadang-kadang jelas bertentangan dengan al-Quran.

Masalah menjadi lebih ketara  apabila agamawan berkenaan menunjukkan kedangkalan ilmu dan kecetekan tahap pemikiran, membuat mereka sering membawa fahaman yang mengelirukan.

Mereka kadang-kala didorong oleh hasrat untuk menjaga dan memperkukuhkan kedudukan pihak-pihak tertentu seperti pemerintah dan juga pihak agamawan sendiri, mengatasi kewajiban untuk menjaga keluhuran dan kemurnian agama.

Maka akan wujudlah usaha-usaha untuk menghalalkan cara dan kaedah sehingga akidah diperdagangkan dan kebenaran juga ikut tergadai.

Beliau memberi contoh yang ekstrem tentang puak-puak teroris seperti Isis yang sering menggunakan al-Quran dan hadis untuk menghalal gerakan serta keganasan mereka.

FaisaI mengambil pendirian bahawa cara yang terbaik untuk mengatasi masalah ini ialah melalui proses ijtihad yang meluas dan terbuka. Bukan sahaja yang dimonopoli oleh agamawan tetapi yang ikut disertai oleh cerdik pandai dan ilmuan lain yang berkemampuan untuk memberi tafsiran dan perspektif mereka masing-masing.

Katanya, agamawan-agamawan tidak wajar diberi lesen besar (carte blanche) atau hak mutlak untuk menjadi 'judge, interprator, jury and executioner'.

Faisal menekankan bahawa dalam mentafsirkan al-Quran dan hukum-hakam, ianya hendaklah berpaksi dan bersandarkan kepada sifat ihsan dan kasih sayang kita sesama kita.

"Taksiran yang rahmah bukan marah," katanya.

Menangani cabaran dengan penuh kebijaksanaan

Mengikut perspektif itu, rasanya kita tidak ada masalah untuk bersetuju dengan pendekatan yang diambil oleh Faisal. Kita pun sedia akui bahawa wujud beberapa masalah dan cabaran dalam pemahaman dan amalan Islam di negara kita.

Khususnya Islam yang telah diberi tafsiran dan pengertian yang sempit, yang perlu ditangani, dibaiki dan diatasi dengan penuh bijaksana.

Cuma yang lazim menjadi masalahnya ialah bagaimana cara dan kaedah yang terbaik untuk kita sama-sama merealisasikan hasrat dan matlamat tersebut? Sering terjadi ialah hasrat yang suci dan cita-cita yang murni terkandas atau tak kesampaian kerana cara dan kaedah yang kita gunapakai tidak menepati atau bersesuaian dengan keadaan dan realiti semasa.

Tidak berhemah dan mengikut penekanan oleh Faisal yang disampaikan tanpa kasih sayang. Berdakwah dalam konteks ini adalah sama dengan perjuangan politik, iaitu berkisar di atas prinsip 'the art of the possible'.

Bersambung esok (Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili ataupun mencerminkan pemikiran Sinar Harian)

***Wan Haron Wan Hassan merupakan Penulis Kanan Sinar Harian        

 

 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment