Lapan tahun seberangi Sungai Golok

Tuesday, August 28, 2018

Lapan tahun seberangi Sungai Golok

Lapan tahun seberangi Sungai Golok

TUMPAT - Budaya sama, pertuturan sama tetapi berbeza negara. Biarpun dipisahkan dengan Sungai Golok tetapi jambatan persaudaraan rakyat Kelantan dengan orang Melayu di selatan Thailand tidak pernah putus.

Sebagai bukti, Sungai Golok di mata undang-undang sebagai sempadan dua negara Malaysia-Thailand tetapi hubungan kekeluargaan tiada sempadannya.

Dek kerana itu, ramai orang Thailand menjadikan Malaysia sebagai tempat mereka mencari rezeki.

Misalnya, sebut sahaja Tok Wan tangan ajaib, satu Malaysia mengenalinya.

Kebolehannya merawat pesakit patah dan seliuh tanpa mengurut, hanya menyentuh dengan dua jarinya menjadi tular di media sosial.

Sudah lapan tahun Tok Wan atau nama sebenarnya Wan Husien Wan Dol, 62, ulang-alik menyeberangi Sungai Golok mencari rezeki di tebing pangkalan Pohon Nibong, Pengkalan Kubor.

Lima minit seberang ke Malaysia

Tok Wan berasal dari kampung Belukar, Thailand dan jaraknya 10 minit menaiki motosikal dari tebing Sungai Golok.

Untuk mencari rezeki di tebing Malaysia ini, dia akan menaiki bot tambang dan perjalanannya hanya lima minit menyeberangi Sungai Golok.

Tok Wan berkata, sukar untuknya menolak memberikan rawatan kepada rakyat Malaysia kerana ia bermula di zaman Allahyarham bapanya lagi sejak berpuluh tahun lalu.

“Selepas ayah saya meninggal dunia lapan tahun lalu, saya mewarisi kepandaian mengubati pesakit patah.

“Saya jadi bomoh patah selepas diberikan ilmu dalam mimpi dan meneruskan kesinambungan arwah ayah mengubati pesakit di Malaysia ini.

“Saya tidak urut pesakit, hanya sentuh tempat patah dengan ibu jari dan jari telunjuk, insya-ALLAH dengan izin-Nya boleh sembuh,” katanya.

Pesakit mendapatkan rawatan daripada Tok Wan.

Dek kemasyhuran Tok Wan itu, setiap hari pangkalan Pohon Nibong dipenuhi pesakit seawal jam 9 pagi.

Bermacam jenis kenderaan parkir di kawasan tebing itu sehingga sesak seperti pasar pagi.

Wakaf itulah tempatnya merawat pesakit yang datang dari serata tempat seluruh Malaysia.

Tok Wan berkata, dia tidak mengenakan bayaran mahal sekadar upahnya dengan niat bersedekah.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mudahnya dapat IC dua negara]

“Tak kisah berapa bayaran, asalkan pesakit niat sedekah kepada saya.

“Saya menyeberangi Sungai Golok ini untuk bantu pesakit di sini,” katanya.

Tok Wan pernah dihalang

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Bendang Pak Yong, Ghazali Isa berkata, dari segi undang-undang adalah salah apabila Tok Wan memasuki negara ini tanpa dokumen sah.

Malah katanya, ia juga pernah menjadi isu dan pihak penguat kuasa mengambil tindakan tegas menghalang Tok Wan menjadikan wakaf itu tempatnya berubat.

“Tapi kami merayu, atas dasar hubungan kekeluargaan dua negara mohon jangan disekat.

“Lagipun Tok Wan bukan bergerak bebas, hanya duduk di atas wakaf tebing sungai menunggu pesakit.

“Dia bukan cari untung, tetapi bantu orang sakit,” katanya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment