Jangan terpedaya testimoni pelik
GUA MUSANG - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menasihati masyarakat supaya lebih bijak dalam membuat pilihan dan tidak terpengaruh dengan testimoni yang tidak munasabah.
Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata, beliau berharap agar masyarakat mendapatkan informasi serta maklumat lengkap mengenai satu-satu produk sebelum menggunakannya.
Katanya, dalam isu melibatkan kopi yang dicampur cecair peluntur, ia adalah satu tindakan yang tidak relevan dan boleh mengundang bahaya kepada pengguna.
"Ramai penjual yang membuat testimoni yang tidak munasabah. Bukan hanya dalam isu kopi ini malah produk lain juga ada.
"Secara logik, ia tidak relevan kerana peluntur tidak boleh diminum. Dalam hal ini, penjual perlu mematuhi peraturan makanan yang telah ditetapkan.
"Pengguna pula jangan cepat terpedaya dengan tertimoni hebat kerana ia hanya gimik pemasaran," katanya selepaas merasmikan Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia dan Pelancaran 'Ambo Nak Sihat' 2018, peringkat negeri Kelantan, di Dataran Gua Musang, hari ini.
Tambah Zaini, dalam isu 'kopi campuran peluntur', sampel perlu diserahkan kepada makmal untuk memastikan kandungan produk berkenaan.
Terdahulu, seorang suri rumah mendakwa nyaris maut apabila mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke hospital selepas beberapa jam minum kopi yang dicampur cecair peluntur.
Mangsa, Siti Hajar Abdullah, 30, dari Taman Agropolitan Rantau Manis, berkata, dia memberanikan diri mencuba campuran berkenaan selepas diberitahu ia adalah sejenis kopi antiracun.
Katanya, dia terpengaruh dengan keberkesanan kopi tersebut kerana sebelum ini disahkan menghidap komplikasi penyakit termasuk buah pinggang, jantung, darah tinggi dan bengkak hati.
[ARTIKEL BERKAITAN: Saya dah 11 kali minum kopi peluntur]
[ARTIKEL BERKAITAN: Bahana minum kopi campur peluntur]
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment