Hanya dapat RM50 sehari

Wednesday, August 15, 2018

Hanya dapat RM50 sehari

Hanya dapat RM50 sehari

KLUANG - Persekutuan Driver-Driver Melayu Kluang (PDMK) mendakwa mata pencarian mereka hilang lebih 50 peratus selepas kewujudan Grab Car selain orang perseorangan yang menjalankan kegiatan mengambil penumpang tanpa lesen atau lebih dikenali sebagai Private Sapu.

Yang Dipertua PDMK, Mustakim Jalil berkata, hasil pemantauan mendapati kegiatan Private Sapu berlaku seawal jam tujuh pagi hingga lewat malam terutama hujung minggu dan cuti umum.

"Keadaan jadi lebih teruk lagi apabila pemandu Grab Car turut mengambil penumpang tanpa tunggu panggilan daripada sistem e-hailing termasuk mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan teksi di hentian teksi.

"Malahan ada Private Sapu dan Grab Car tunggu di luar hentian bas sedangkan hentian teksi hanya terletak 20 meter sahaja. Keadaan ini sering berlaku apabila tiba musim cuti persekolahan atau perayaan," katanya.

Menurutnya, sebahagian Private Sapu pula akan menunggu di Jalan Ong Lai Bar, di sini, dengan mensasarkan penumpang terdiri daripada anggota tentera serta kakitangan penjara dari kem dan penjara berdekatan.

Katanya, pendapatan pemandu teksi juga turut terjejas dan jauh lebih rendah daripada sebelum ini dan ada di antara ahli PDMK hanya memperolehi RM50 sehari dan pendapatan tersebut belum ditolak kos minyak petrol atau gas.

"Bagi memastikan keadaan ini tidak berterusan, saya bersama ahli PDMK akan jumpa polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Perbandaran Kluang (MPK) serta Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi dalam masa terdekat.

"Pihak kami juga akan memohon mendapatkan petak khas untuk pemandu teksi menunggu serta mendapatkan penumpang di hadapan Pasaraya Kluang Mall, Pasaraya Kluang Parade, Jalan Ong Lai Bar dan Persimpangan Jalan Tan Sir Khor di Jalan Mersing," katanya.

Menurutnya, selain itu, kawasan lain yang dipertimbangkan untuk memohon petak khas pemandu teksi adalah di Pasaraya Econsave, Stesen Keretapi, Pasar Awam dan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.

Katanya, beliau juga berharap pihak bertanggungjawab dapat meluluskan permohonan ini sebagai langkah pertama mengatasi masalah Private Sapu selain Grab Car yang menyebabkan pendapatan semua pemandu teksi di sekitar daerah ini terjejas sejak akhir-akhir ini.Gesa pihak berkaitan ambil langkah segera.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment