Dua bergelar Datuk mengaku tak salah menipu
KUANTAN - Dua ahli perniagaan bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan di sini, semalam atas tuduhan menipu seorang individu berhubung projek perlombongan bauksit yang tidak wujud melibatkan pembayaran berjumlah RM 90,000, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Syed Mohammad Faiz Syed Azemmant, 31 dan Muhammad Adam Rao Abdullah, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan di mahkamah berasingan di hadapan Majistret Nor Azizah Aling dan Majistret Nurunaim Abdullah.
Mengikut kertas pertuduhan, Adam didakwa menipu Tee Boon Hua, seorang ahli perniagaan dengan menawarkan urusan cari gali bahan mineral bauksit dan tanah literit yang tidak wujud dari sebidang tanah kepunyaan Setiausaha Majlis Ugama Islam Pahang
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank yang mendorong ahli perniagaan itu membayar RM 20,000 pada 10 Jun 2015 dan RM 40,000 pada 19 Jun 2015
Bagi pertuduhan ketiga, Adam didakwa menipu mangsa yang sama dengan menawarkan urusan cari gali bahan mineral bauksit dan tanah literit yang tidak wujud dari sebidang tanah kepunyaan Setiausaha Majlis Ugama Islam Pahang di sebuah pejabat pada 10 Julai 2015 berjumlah RM30,000.
Dalam pada itu, Syed Mohammad Faiz didakwa bersubahat bersama Adam dengan melakukan kesalahan sama.
Bagi setiap pertuduhan itu, Adam dan Syed Mohammad Faiz, masing-masing berasal dari Indera Mahkota Peramu Jaya didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.
[ARTIKEL BERKAITAN: Datuk direman tipu perlombongan bauksit tak wujud]
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Mohammad Shahrizzat Amadan manakala kedua tertuduh diwakili peguam, Hisham Ramdzan.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan terhadap Muhammad Adam sebanyak RM20,000 manakala Syed Mohammad Faiz ditawarkan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh memohon kadar jaminan dikurangkan
Hisham berkata, kedua anak guamnya, merupakan seorang ahli perniagaan dan Muhammad Adam menanggung adik beradik, ibu serta bapa yang menghidap penyakit angin ahmar.
Manakala Syed Mohammad Faiz pula menanggung dua isteri dan isteri keduanya baru sahaja melahirkan cahaya mata tiga bulan lalu.
Nurunaim kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Muhammad Adam manakala Majistret Nor Azizah menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Syed Mohammad Faiz.
Mahkamah menetapkan 27 September depan untuk sebutan semula kes.
Kedua-dua tertuduh membayar jaminan berkenaan.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment