Pembunuhan Jong Nam bermotif politik

Thursday, August 16, 2018

Pembunuhan Jong Nam bermotif politik

Pembunuhan Jong Nam bermotif politik

SHAH ALAM - Pembunuhan ke atas warga Korea Utara,Kim Chol atau Kim Jong-nam pada Februari 2017 mungkin bermotif politik.

Perkara itu disebut dalam penghakiman panjang Hakim Datuk Azmi Ariffin sebelum memerintahkan dua wanita yang berdepan tuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara itu membela diri.

Dalam penghakiman selama hampir tiga jam itu beliau berkata keterangan pegawai penyiasat bahawa mangsa telah bertemu dengan seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) di Langkawi lima hari sebelum pembunuhan itu.

"Pegawai penyiasat memberi keterangan bahawa Jong Nam juga dikenali sebagai Kim Chol telah bertemu dengan seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) di Langkawi lima hari sebelum pembunuhan itu.

Bagaimanapun, menurutnya polis gagal memastikan identiti orang AS dan motif pertemuan mereka.

"Oleh itu, saya tidak dapat menolak bahawa ini boleh menjadi pembunuhan bermotif politik," katanya.

Selain itu, Azmi berkata beliau tidak boleh menerima hujahan pihak pembelaan kononnya insiden itu hanya lakonan 'prank' bagi satu program.

"Berdasarkan penilaian terperinci, saya dapati lakonan prank melibatkan aktiviti jenaka tidak menyebabkan sebarang bahaya kepada sasaran atau mangsa.

"Bagaimanapun, ciri-ciri prank tidak dapat dilihat dalam rakaman CCTV yang dikemukakan kepada mahkamah," katanya.

Sebaliknya menurutnya kedua-dua tertuduh mempunyai niat bersama, dengan empat individu yang masih bebas, untuk menyebabkan kematian Jong Nam.

Tambahnya lagi, tindakan kedua-dua tertuduh bergegas ke tandas selepas insiden itu membuktikan bahawa mereka tahu bahan di tangan mereka adalah agen saraf VX yang beracun dan boleh menyebabkan kematian.

"Kedua-duanya bergegas ke tandas untuk mencuci tangan dan kembali tenang selepas kembali dari tandas.

Azmi juga menegaskan bahawa siasatan yang dijalankan oleh pegawai penyiasat Penolong Penguasa Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz tidak berat sebelah dan tidak adil terhadap tertuduh.

Beliau berkata, tiada merit dalam tuduhan pendakwaan bahawa siasatan yang dilakukan oleh polis adalah berat sebelah dan prejudis terhadap tertuduh.

"Selepas membuat penilaian maksimum terhadap hujah-hujah oleh pihak pendakwaan serta hujahan balas pihak pembelaan, selain meneliti keseluruhan bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, saya berpuas pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan prima facie dan kedua-dua tertuduh dipanggil untuk membela diri," katanya.

Penghakiman itu dibacakan menggunakan bahasa Inggeris, sebaik dimaklumkan oleh jurubahasa masing-masing, Siti Aisyah dan Thi Huong kelihatan sebak.

Siti Aisyah, 26 tahun, dan Thi Huong, 29 tahun, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45 tahun, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada jam 9 pagi, 13 Februari 2017.

Empat lelaki Korea Utara yang masih bebas itu dikenali sebagai Mr. Chang atau nama sebenarnya Hong Song Hac, 34 tahun; Mr. Y (Ri Ji Hyon),33 tahun; Hanamori (Ri Jae Nam), 57 tahun, dan James atau O Jong Gil, 55 tahun.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Jong-nam dilaporkan berada di klia2 pada 13 Februari untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita mendekatinya lalu menyapu mukanya dengan cecair toksik yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Jong-nam, yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bunuh Jong Nam: Bebas atau bela diri?]

Mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang pertama kali pada 1 Mac 2017, sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Siti Aisyah diwakili peguam Gooi Soon Seng, manakala Thi Huong diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Selangor Muhammad Iskandar Ahmad dan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment