Kementerian komited tingkat kualiti profesion perguruan

Thursday, August 16, 2018

Kementerian komited tingkat kualiti profesion perguruan

Kementerian komited tingkat kualiti profesion perguruan

NILAI - Kementerian Pendidikan komited untuk meningkatkan kualiti dan standard profesion perguruan untuk memastikan pendidikan berkualiti dapat disampaikan kepada semua pelajar.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata landskap abad ke-21 menuntut pelajar dilengkapi dengan kemahiran berbahasa Inggeris yang efektif.

"Saya percaya bahawa melalui penglibatan berterusan dan komitmen dari semua pihak berkepentingan, kita dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang mahir berbahasa Inggeris dan muncul sebagai pemain global yang berdaya saing dalam dunia yang sangat mencabar ini.

"Kementerian sedang mengubah pendidikan bahasa Inggeris di Malaysia selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 serta Pelan Pendidikan Bahasa Inggeris 2015-2025," kata beliau pada penutupan Karnival Highly Immersive Programme (HIP) 2018, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Pusat Pengajaran bahasa Inggeris (ELTC) Farah Mardhy Aman.

Maszlee berkata guru bahasa Inggeris hari ini diberi latihan untuk mengangkat standard bahasa Inggeris berdasarkan permintaan semasa landskap pendidikan.

“Saya menggesa semua guru untuk bersaing dengan dunia pendidikan yang pesat berubah dan memenuhi permintaan sistem pendidikan yang semakin berkembang,” kata beliau.

Karnival HIP 2018 bertujuan untuk menyokong  penubuhan persekitaran bahasa Inggeris yang akan meningkatkan kemahiran pelajar dalam Bahasa Inggeris melalui peningkatan pendedahan kepada bahasa tersebut.

Objektif program dua hari yang dihadiri oleh 350 pelajar dan guru ialah untuk menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris melalui pelbagai aktiviti, meningkatkan penyertaan pelajar dan mewujudkan platform positif bagi pelajar untuk membina keyakinan dan motivasi dalam penggunaan bahasa. â€" Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment