Jangan tinggalkan anak dengan individu bermasalah

Tuesday, August 14, 2018

Jangan tinggalkan anak dengan individu bermasalah

Jangan tinggalkan anak dengan individu bermasalah

SHAH ALAM - Kanak-kanak tidak sepatutnya ditinggalkan bersama penjaga yang bermasalah yang boleh memberi risiko keselamatan walaupun individu itu dalam keadaan waras.

Kes melibatkan pembunuhan kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang ditetak bapa kandungnya wajar menjadi iktibar agar ibu atau bapa lebih peka dengan latar belakang individu yang diamanahkan untuk menjaga anak mereka.

Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali, berkata, secara umumnya mangsa berada dengan orang yang salah pada masa yang salah.

Bagaimanapun menurutnya, suspek yang dikenal pasti positif syabu juga mungkin menjadi antara faktor berlakunya kekejaman itu.

"Suspek mengaku mendengar suara, adakah suara hati sendiri atau dari minda yang tidak betul? Perlu lihat latar belakang penuh kes ini. Adakah wajah anak itu seiras dengan suspek dan suspek meluahkan rasa benci terhadap diri sendiri sehingga sanggup membunuh.

"Keluarga ini mungkin menghadapi konflik dalaman yang besar. Si isteri pasti tahu sikap suami. Faktor kerja juga mungkin membataskan masa untuk diluang bersama,"katanya kepada Sinar Harian.

Beliau turut mempersoalkan status suspek yang juga bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) tetapi positif dadah.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kaunseling universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Sa'ad, berkata, kesan syabu boleh  menyebabkan pengambil tidak mempunyai rasa takut dan belas kasihan kepada mangsa ketika melakukan jenayah termasuk membunuh.

Bagaimanapun katanya, perlu diketahui adakah suspek membunuh ketika bawah pengaruh dadah atau mengambil dadah selepas membunuh.

"Kalau bawah pengaruh syabu ia memang puncanya kerana kesan dadah syabu boleh menyebabkan  mendengar suara dan bisikan. Jika tidak, mungkin dia mengalami kesan kemurungan kerana mengambil dadah.

"Pelbagai faktor penyebab pengambilan dadah ini walaupun tahu memberbahaya. Mula-mula mungkin untuk keyakinan diri tapi ia boleh berakhir dengan membunuh orang dan diri sendiri. Ia sangat popular tetapi kesannya dasyat dan menyebabkan penagih menjadi agresif,"katanya.

Dalam kejadian berlaku di Flat Taman Puchong Permai jam 4.45 petang semalam, mangsa meninggal dunia akibat cedera ditetak sebanyak tiga kali di bahagian kepala dan pergelangan tangan kanan.

Mangsa diletakkan di bahagian koridor unit kediaman dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah.

Suspek yang juga bapa mangsa ditahan di rumahnya dan mengaku membunuh kanak-kanak itu yang sedang tidur selepas mendengar bisikan ghaib.

Polis mengesahkan suspek adalag peminum tegar ketum dan didapati positif dadah jenis syabu.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment