Rafizi diarah bela diri

Wednesday, October 25, 2017

Rafizi diarah bela diri

Rafizi diarah bela diri

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen memerintahkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli, membela diri terhadap pertuduhan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank, termasuk milik Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC), pada 7 Mac 2012.

Hakim Zamri Bakar turut mengarahkan seorang kerani bank, Johari Mohamad, membela diri, berikutan didakwa bersubahat dengan Mohd Rafizi mendedahkan dokumen penyata baki akaun NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Mohd Rafizi sebelum ini mengaku tidak bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank berkenaan kepada perunding media, Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho.   

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012. 

Mohd Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) BAFIA, yang membolehkannya dihukum penjara sehingga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama.

Johari, 44, turut mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan alamat yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) BAFIA dan boleh dihukum menurut Seksyen 103 akta sama.

Terdahulu, Zamri ketika membacakan keputusannya, berkata beliau berpuas hati serta mendapati pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh.

"Pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Kedua-dua tertuduh diperintahkan untuk membela diri atas pertuduhan," katanya.

Sementara itu, mahkamah dimaklumkan oleh peguam yang mewakili Mohd Rafizi, Ahmad Nizam Hamid, anak guamnya akan memberi keterangan secara bersumpah, manakala Latheefa Koya memaklumkan pihaknya akan mengemukakan dua saksi pembelaan, termasuk anak guamnya, Johari.

Mahkamah menetapkan 4, 7 dan 8 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Lailawati Ali dari Pejabat Peguam Negara dan Steve Chin bagi pihak Bank Negara.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment