28 basikal dirampas, penunggang kena tahan
MERSING - Polis merampas 28 basikal lajak dan penunggangnya ditahan dalam Ops Lajak yang dijalankan selama tiga hari di sekitar bandar Mersing, bermula Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, kesemua basikal yang disita, tidak mengikut spesifikasi dibenarkan termasuk tiada brek.
"Ops Lajak ini tertumpu khas kepada remaja-remaja yang menunggang basikal diubah suai. Dalam operasi ini, kami berjaya menahan dan memeriksa 28 remaja berumur lingkungan 12 sehingga 15 tahun dan merampas 28 basikal.
"Penyitaan dibuat atas alasan basikal-basikal itu telah diubah suai. Basikal-basikal ini tidak memenuhi peraturan yang sepatutnya seperti tidak memiliki brek dan tayar basikal yang diubah suai," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing di sini selepas Perhimpunan Bulanan IPD Mersing, hari ini.
Difahamkan, kesemua remaja yang ditahan, dibebaskan tanpa syarat dan kesemua ibu bapa dipanggil ke balai.
Cyril berkata, kebanyakan ibu bapa langsung tidak mengetahui aktiviti anak-anak mereka yang dipercayai dilakukan secara sembunyi-sembunyi.
"Dalam operasi ini, kesemua remaja dibawa balik ke IPD Mersing untuk proses dokumentasi dan tindakan memanggil ibu bapa masing-masing hadir ke balai untuk diberi kaunseling dan nasihat atas kegiatan anak mereka.
"Hasil siasatan mendapati, kebanyakan ibu bapa tidak mengetahui kegiatan anak masing-masing. Di mana saya percaya anak-anak ini telah melakukan kegiatan ini secara sembunyi," katanya.
Beliau menasihatkan ibu bapa supaya lebih memberi perhatian kepada anak masing-masing terutam ketika mereka berada di luar rumah.
Katanya, 28 basikal yang diubah suai itu akan dilupuskan dan pihaknya mempertimbangkan untuk mengeluarkan saman terhadap ibu bapa remaja terbabit.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment