PKS tunjang pembangunan

Sunday, October 29, 2017

PKS tunjang pembangunan

PKS tunjang pembangunan

KUALA LUMPUR: Peruntukan berjumlah RM23.7 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi Bajet 2018 mampu meletakkan industri itu sebagai tunjang pembangunan sosio ekonomi arus perdana.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata peruntukan bagi menggalakkan promosi dan pembiayaan itu akan terus meningkatkan pertumbuhan perdagangan dan pelaburan, sekali gus membantu negara mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi antara 5.2 hingga 5.7 peratus.

Beliau berkata, sebanyak 98.5 peratus daripada jumlah syarikat terdiri daripada PKS dan daripada jumlah itu 76.5 peratus ialah syarikat mikro.

"Bajet ini akan terus memperkasakan PKS tempatan dan kali pertama menerima peruntukan besar dalam bentuk antara lain latihan, geran, pinjaman mudah dan jaminan.

"Dengan sokongan dan peruntukan itu, saya yakin PKS akan berupaya menyumbang 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020," katanya dalam kenyataan.

Mustapa berkata, kerajaan komited untuk memastikan pembabitan PKS dalam sektor pertumbuhan ekonomi yang baharu termasuk ekonomi digital.

Justeru, katanya, lebih 1,500 PKS akan menyertai fasa pertama Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

Beliau berkata, DFTZ akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama-sama pengasas Alibaba Group, Jack Ma pada awal November ini.

"Ia satu inisiatif bagi menggalakkan pertumbuhan eksport serta peluang pekerjaan dalam kalangan PKS," katanya.

Mustapa berkata, inisiatif itu penting untuk memperkukuhkan lagi keupayaan syarikat PKS dalam menghadapi cabaran hari ini dan masa hadapan.

"RM1 bilion yang disediakan oleh pelabur institusi utama dan insentif cukai bagi pelaburan dalam modal teroka akan menyemarakkan aktiviti keusahawanan dan membantu pertumbuhan syarikat pemula niaga serta memacu inovasi dalam ekonomi," katanya.

Katanya, komitmen Malaysia terhadap globalisasi juga diperkukuhkan menerusi Bajet 2018.

Beliau berkata, inisiatif Hab Prinsipal yang diperkenalkan pada Mei 2015 sudah meluluskan 27 permohonan syarikat multinasional untuk membangunkan ibu pejabat serantau dan global mereka di negara ini.

"Pada tahun pertama pelaksanaan Hab Prinsipal, ia menghasilkan perbelanjaan perniagaan berjumlah lebih RM230 juta, bayaran bagi penggunaan khidmat syarikat tempatan bernilai RM19.4 juta dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

"Keputusan untuk melanjutkan pakej insentif bagi Hab Prinsipal dari 2017 sehingga Disember 2020 langkah tepat untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran serantau dan dunia," katanya.

Beliau berkata, agenda pengantarabangsaan syarikat Malaysia diperkasakan lagi dengan peruntukan bernilai RM150 juta untuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan SME Corp menjayakan promosi pelaburan dan eksport termasuk menerusi Geran Pembangunan Pasaran (MDG).

Pada 2016, sebanyak 1,910 PKS menerima manfaat daripada MDG dan peruntukan itu akan mengukuhkan usaha kerajaan dalam menyerlahkan lagi jenama Malaysia di pasaran antarabangsa, dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar.

"Pada 2017, kita menjangkakan jumlah perdagangan meningkat 17.1 peratus kepada RM1.7 trilion manakala eksport pula berkembang 16.6 peratus kepada RM917.5 bilion," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment