OKU tagih simpati masyarakat

Monday, October 23, 2017

OKU tagih simpati masyarakat

OKU tagih simpati masyarakat

SELAYANG: Ibu kepada empat orang anak merayu sumbangan orang ramai bagi membantu anaknya, Alya Nabil Norlizan berusia 11 tahun yang cacat sejak lahir.

Norhayati Mohd Idris berkata, sumbangan ikhlas daripada orang ramai diharap dapat menampung perbelanjaan bulanan untuk kanak-kanak istimewa itu yang mencecah RM1,300 sebulan.

Suri rumah itu berkata, suaminya bekerja di sebuah kilang dengan pendapatan hanya cukup makan.

"Saya mengajar mengaji al-Quran, kalau ada orang bayar adalah pendapatan. Kalau tiada... maka tiadalah pendapatan untuk saya. Hanya bergantung pendapatan suami sekadar cukup makan.

"Kami ada juga menerima bantuan daripada pusat zakat sekitar RM300 sebulan. Saya membelanjakan hampir RM1,000 sebulan untuk membeli susu dan ini tidak termasuk kos membeli lampin pakai buang dan rawatan.

"Sebelum ini, pernah ditipu oleh individu yang kononnya mahu memberi bantuan kepada Alya," katanya selepas menerima kunjungan Pengerusi Yayasan Jamin, Datuk Sohaimi Shahadan di rumahnya di Selayang Pandan di sini, semalam.

Sohaimi turut menghulurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Selayang Pandan, Datuk Saiful Bahari.

Sementara itu, Sohaimi berkata, sumbangan berbentuk makanan dan wang ringgit itu diharap mampu meringankan bebanan keluarga berkenaan.

"Saya menyeru orang ramai yang ingin menyumbang boleh salurkan secara terus kepada keluarga mangsa ataupun rujuk kepada Yayasan Jamin," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment