Mahir jinak haiwan liar

Sunday, October 29, 2017

Mahir jinak haiwan liar

Mahir jinak haiwan liar

BERADA berhampiran Sungai Perak antara Bota Kanan menuju ke pekan Parit, terletak sebuah tempat tradisional bernama Kampung Pendiat yang majoritinya dihuni masyarakat Melayu.

Berdasarkan cerita orang dulu-dulu, kampung ini berbentuk padang dan hutan pokok renek.

Namun, ia bukanlah sesuatu yang hendak diceritakan di sini. Sebaliknya, fokus tertumpu kepada kemahiran penduduknya suatu ketika dahulu.  

Ketua kampungnya, Shaidin Naemat berkata, penduduk Kampung Pendiat mahir menjinakkan haiwan liar termasuk gajah.

Menurutnya, kelebihan tersebut menyebabkan masyarakat Siam tertarik untuk menghantar gajah mereka ke kampung berkenaan untuk dijinakkan.

Justeru itu, katanya, penduduk kampung telah dikerah untuk membuat hadang atau kandang dengan buluh bagi meletakkan gajah-gajah yang dihantar. 

Asal usul nama kampung

Beliau berkata, berdasarkan cerita turun-temurun, banyak gajah yang dibawa ke sini dan berjaya dijinakkan oleh penduduk.

“Gajah-gajah itu kemudiannya diambil semula oleh orang-orang Siam berkenaan untuk dijadikan sebagai kenderaan dalam peperangan.

“Selepas gajah dilatih dan diambil oleh pemiliknya, maka yang tinggal hanya kandangnya sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kesan tinggalan tersebut telah menyebabkan kampung ini diberi nama.

“Dari situ terbentuklah nama Kampung Pendiat sebagai gelaran kepada pagar-pagar buluh yang besar itu.

“Nama itu terus digunakan bagi mengingati peristiwa yang diceritakan turun temurun itu,” katanya.

Kesan peninggalan sudah tiada

Shaidan berkata, apa yang disampaikan sejak turun temurun itu bagaimanapun sekadar penceritaan sahaja kerana sebarang kesan peninggalannya sudah tiada.

Oleh yang demikian, menurutnya, jawatankuasa kampung berusaha mengabadikan kisah unik kampung itu di dalam satu profil untuk tatapan anak-anak kampung dan orang luar yang mahu mengetahui latar belakang Kampung Pendiat ini.

“Melalui kisah-kisah seumpama ini sekurang-kurangnya akan dapat menarik minat orang ramai untuk mengetahui tentang asal-usul kampung kami.

“Kami bangga dengan nama kampung kami memandangkan ia mempunyai cerita di sebalik namanya,” katanya.

Mahu jadi kampung contoh

Biarpun telah berpuluh tahun berlalu, aktiviti pertanian masih menjadi sumber pendapatan utama penduduk Kampung Pendiat.

Dengan kemudahan dan bantuan diterima daripada kerajaan, rata-rata penduduk kini aktif melibatkan diri dalam aktiviti agro seperti tanam sayuran, menangkap dan membela ikan sangkar.

Shaidan berkata, ahli jawatankuasa kampung telah merancang pelbagai perkara bagi mewujudkan sebuah kampung contoh.

“Besar harapan kami agar kampung ini boleh dijadikan sebagai contoh kepada kampung lain.  

“Kami mahu semua penduduk kampung tanpa mengira umur mempunyai projek atau aktiviti masing-masing untuk menjana pendapatan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment