Kesilapan mindset pendakwah

Monday, October 8, 2018

Kesilapan mindset pendakwah

Kesilapan mindset pendakwah

USTAZ Ali, seorang yang banyak berkorban masa dan tenaga untuk dakwah, semakin rasa risau dengan perkembangan LGBTQ di Malaysia.

Lalu beliau menyampaikan ceramah dengan penuh emosi dalam satu majlis, “Kita perlu perang dengan Demokrasi Liberal. LGBTQ telah menjadi gerakan politik yang global hasil kerja geng liberal ini. Hapuskan Liberalisme habis-habisan.”

Kita perlu rasa kagum dengan usaha dan kesedaran ustaz Ali dalam medan dakwah tetapi pada masa yang sama, kita juga perlu berhati-hati dengan perkataan-perkataan yang digunakan seperti “liberal demokrasi”, “liberal” dan “liberalisme”.

Setiap pendakwah perlu tanya tentang apakah makna perkataan ini dan adakah pemahamannya betul.

Seorang ustaz telah menuduh pendakwah Alfie Ng, sebagai “liberal” kerana Alfie Ng tidak setuju dengan manifesto parti politik ustaz ini. Maka Alfie Ng yang berasal dari latar belakang mualaf dan pernah belajar di universiti Barat pun menyoal ustaz, “Ustaz undi di PRU tak?”

Ustaz pun jawab, “Ustaz bukan sekadar mengundi tetapi menjadi AJK parti dan berkempen untuknya”.

Alfie tersenyum, lalu berkata, “Ustaz pun liberal juga kerana ustaz pergi mengundi dalam PRU. Bahkan ustaz sangat liberal kerana juga berkempen untuk parti politik dan menjadi AJKnya! Ustaz bergelumang dalam dunia politik liberal demokrasi!”

Ustaz ini terkejut dengan kenyataan Alfie Ng. Tidak terlintas dalam minda ustaz bahawa dia sendiri pun adalah liberal juga. Kelebihan ustaz ini ialah beliau suka mencari ilmu yang baru dan mampu kawal emosi dirinya.

Beliau tidak ego, rasa dirinya tahu semua perkara. Lalu beliau pun tanya dengan wajah yang keliru, “Mengapa saudara Alfie Ng kata mengundi itu liberal?”

“Mengundi itu sendiri tidak liberal. Tapi mengundi parti dalam pilihan raya politik dan berkempen adalah berdasarkan falsafah liberal demokrasi,” kata Alfie.

Sebenarnya, tidak pernah terjadi dalam sejarah khilafah, wujud pilihan raya umum, kempen, peti undi, pangkah parti dalam kertas undi. Sistem pilihan raya demokrasi liberal adalah berdasarkan falsafah hak asasi kemanusiaan bahawa suara majoriti rakyat berhak menentukan siapa yang layak menjadi pemimpin.

Hak asasi kemanusiaan juga telah meletakkan syarat bahawa setiap undi rakyat adalah sama kualiti. Undi seorang ulama dan undi seorang gay adalah dikira masing-masing satu undi. Liberalisme tidak mengiktiraf bahawa undi seorang ulama itu dikira dua undi dan undi seorang gay adalah dikira hanya satu undi.

Liberalisme melihat kedua-dua adalah manusia, maka mempunyai hak asasi kemanusiaan yang sama rata (equality).

Sistem Khilafah melihat pilihan para Sahabat Nabi SAW adalah lebih berkualiti dari pilihan rakyat biasa kerana pilihan mereka adalah berdasarkan ilmu dan faham agama yang mendalam. Sistem Khilafah tidak mengutama suara majoriti.

Suara majoriti bukan penentu kepimpinan. Kepimpinan yang berkualiti adalah pilihan rakyat minoriti yang berkualiti, bukan sembarangan rakyat.

China telah menyindir kegagalan sistem liberal demokrasi Barat setelah Donald Trump menang pilihan raya dan menjadi Presiden Amerika. China berkata bahawa kerani biasa di pejabat kerajaan China adalah lebih berkualiti dan bermoral dari Trump!

Kesilapan mindset pendakwah kita ialah kita terlalu cepat menuding jari dengan pelbagai label istilah tanpa memikirkan sama ada pemahaman istilah adalah betul atau tidak.

Saya telah berjenaka dengan seorang sahabat dari Pas. Saya berkata bahawa Pas patut dipanggil saja Parti Islam Liberal supaya para ustaz faham makna liberal yang sebenarnya.

Kewujudan Pas dan perlembagaan Pas adalah campur aduk antara Islam dan falsafah liberal. Tanpa liberalisme, Pas sebagai parti politik yang berdaftar di bawah ROS untuk bertanding di PRU tak akan wujud sama sekali kerana Parlimen itu sendiri adalah simbol keagungan demokrasi liberal dalam pentadbiran  Malaysia!  

Sudah tiba masanya pendakwah-pendakwah kita dilatih dalam kursus falsafah Barat seperti falsafah John Locke, Karl Marx, John Rawls dan lain-lain.

Imam Al-Ghazali, Imam Abu Hasan Al-Ash’ari, Ibn Taimiyyah dan lain-lain telah menghasilkan banyak karya sebagai reaksi kepada falsafah Yunani Barat.

Tidak cukup sekadar dengan ilmu interfaith kerana bidang falsafahlah yang sedang menakluki dunia politik, ekonomi dan sosial.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment