Rumah jadi mini muzium

Monday, October 8, 2018

Rumah jadi mini muzium

Rumah jadi mini muzium

KUALA TERENGGANU - Minat mendalam mendorong seorang peniaga mengumpul lebih 60 barangan antik di kediamannya di Kampung Durian Burung.

Ibrahim Abdul Rahman, 53, berkata, kebanyakan barangan antik yang dikumpul di kediamannya itu terdiri daripada tembikar, kayu dan tembaga.

Menurutnya, kebanyakan barangan lama yang disimpan itu daripada tahun 1940an hingga 1970an.

Ibrahim atau dikenali sebagai Pok Him Klasik berkata, idea untuk mempamerkan barangan antik itu terhasil selepas kediamannya diubah suai tiga tahun lalu.

"Sebenarnya saya tak rancang pun nak buat rumah seperti ini, semuanya disebabkan saya minat rumah kayu tetapi nak buat tak mampu.

"Selepas saya ubah suai rumah yang saya diami dengan menambah kayu pada bahagian hadapan, saya mula terfikir, elok sekiranya koleksi ini saya kumpulkan setempat," katanya.

Koleksi motosikal, basikal klasik

Ibrahim berkata, barangan antik miliknya dikumpul sejak mendirikan rumahtangga bersama Sharifah Rohani Syed Ismail, 48.

Katanya, selain barangan antik, beliau juga memiliki motosikal dan basikal klasik.

"Sebelum ini, saya aktif menyertai pertandingan dan pameran motosikal klasik. Saya ada lapan motosikal klasik antaranya daripada jenama Norton, Triumph dan Ariel.

"Saya juga ada lima basikal klasik antaranya daripada jenama raleigh dan hercules. Ada juga rakan yang berminat dan membeli basikal saya untuk dipamerkan di ruangan kedai," katanya.

Kediaman Ibrahim yang diubahsuai dengan tambahan kayu pada bahagian hadapan menjadikan kediaman Ibrahim tidak ubah seperti 'mini muzium'.

Ibrahim berkata, selain memenuhi minat sendiri, beliau berpuas hati kerana dapat berkongsi minat dengan ramai orang dan hobinya itu disokong keluarga.

"Bila sama-sama minat, barulah ada nilai bagi setiap barangan lama ini.

"Saya bersyukur hobi ini mendapat sokongan isteri dan empat anak saya. Jadi, sejak dikumpul dan dipamerkan dirumah ini, isteri sayalah yang menjaga barangan-barang antik ini," katanya.

Barang antik bernilai tinggi

Beliau berkata, terdapat  beberapa barangan antik yang mempunyai nilai tinggi dan sukar diperoleh seperti periuk tembaga cekek bertudung, cepu iaitu bekas tembaga yang digunakan untuk menyimpan kuih dan kendi.

Katanya, beliau mempunyai banyak lagi barangan antik yang namanya tidak begitu pasti dan perlu dirujuk pada pihak muzium.

Ibrahim menunjukkan cepu tembaga yang mendapat tempat kedua dalam pertandingan barangan antik tembaga di Rumah Warisan Haji Su, Losong pada 2017.

"Cepu dan periuk cekek pernah masuk pertandingan barangan antik tembaga di Rumah Warisan Haji Su, Losong pada 2017.

"Cepu berjaya mendapat tempat kedua manakala periuk cekek dapat tempat keempat dalam pertandingan itu," katanya.

Ibrahim berkata, beliau berhasrat menyambung minat dan hobi mengumpul barangan antik itu kepada anak-anaknya.

"Memang saya berhasrat mewarisi hobi mengumpul barangan antik ini kepada anak-anak saya sekiranya saya tiada," katanya.         



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment