Yik ambil alih Mada

Monday, October 8, 2018

Yik ambil alih Mada

Yik ambil alih Mada

KOTA BHARU - Bermula tahun 2019, pengurusan Sekolah Maahad Darul Anuar (Mada) di Pulau Melaka yang dikatakan menghadapi masalah kewangan akan diambil alih oleh Yayasan Islam Kelantan (Yik).

Berita itu tular di media sosial semalam berikutan tersebarnya surat yang ditandatangani Pengarah Yik, Tengku Ab Rahman Tuan Yunus dan disambut baik pelayar Facebook.

Berdasarkan surat tersebut, Yik memaklumkan menerima permohonan daripada Keluarga Besar Nikmatillah selaku pemegang amanah yang menguruskan tanah dan bangunan di Mada untuk menyerahkan pengurusan sekolah kepada pihaknya.

“Mesyuarat Lembaga Yik  Bilangan 4/2016 yang bersidang 28 Disember 2016 pada dasarnya telah bersetuju Yik mengambil alih pengurusan sekolah berkenaan menggunakan kurikulum Yik bermula sesi persekolahan 2019,” mengikut surat bertarikh 4 Oktober 2018.

Surat berkenaan juga meminta supaya pihak Mada memberikan kerjasama kepada pengurusan Yik bagi memudahkan  urusan pembukaan sesi persekolahan pada tahun depan.

Maahad berkenaan pada mulanya beroperasi sebagai sekolah pondok yang diasaskan Nik Mat Alim iaitu bapa kepada arwah Nik Aziz.

Bermula tahun 2009, Nik Omar menguruskan maahad tersebut sebagai Pengetua Mada dan selepas PRU14 pelbagai konflik berlaku berikutan anak kedua arwah, Nik Aziz itu memilih untuk bersama Amanah  serta bertanding sebagai calon PH di Dun Chempaka.

Terkini terdapat 220  pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima menuntut di sini dan Maahad tersebut mempunyai 24 tenaga pengajar.

Julai tahun lalu Nik Omar memberitahu Sinar Harian pihaknya perlu mencari dana  sekurang-kurangnya RM100,000 bagi menanggung bil api, gaji guru serta pengurusan lain.

Sumber Mada memaklumkan kepada Sinar Harian pihaknya sudah menerima surat berkenaan kelmarin namun usaha mendapatkan maklum balas daripada Nik Omar semalam gagal kerana beliau dikatakan berada di Kuala Lumpur.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment