SPR tepis kekeliruan jumlah pengundi awal
PORT DICKSON - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menepis kekeliruan yang diutarakan calon Bebas, Mohd Saiful Bukhari Azlan berhubung jumlah pengundi warga tentera dan pasangan pada hari mengundi awal.
Pengerusi SPR, Azhar Harun berkata, beliau ambil maklum daripada perhatian yang dilemparkan oleh calon tersebut.
"Kenyataan oleh pihak tentera pagi ini mengatakan jumlah pengundi seramai 5,631 orang dan itu adalah berbeza dengan jumlah yang kami keluarkan.
"Saya ingin menekankan bahawa jumlah yang sebenarnya yang telah disahkan ialah jumlah yang disytiharkan pihak SPR semalam," katanya selepas membuat lawatan undi awal di Hangar Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.
Menurutnya, jumlah yang dikeluarkan ini adalah mengikut daftar pengundi pada suku tahun kedua 2018 yang dikemaskinikan sehingga 11 September lalu.
Katanya, secara ringkasnya jumlah pengundi yang hadir ialah seramai 6,690 dan daripada jumlah itu, sebanyak 54 undi adalah secara pos.
"Jadi jumlah undi untuk warga tentera adalah seramai 6,636 orang dan itu diambil mengikut daftar pemilih yang telah dirujuk," katanya.
Sementara itu, jumlah pengundi untuk polis pula ialah 578 orang dan daripada jumlah itu seramai 23 orang adalah pengundi pos.
Jelasnya, beliau bagaimanapun tidak pasti dan enggan membuat sebarang spekulasi bagaimana pihak tentera mendapat jumlah seperti yang dimaklumkan mereka.
Terdahulu, Tentera Darat memaklumkan seramai 5,631 warga tentera darat dan pasangan akan melaksanakan tanggungjawab mengundi awal bagi PRK Parlimen Port Dickson di dua lokasi iaitu Hangar Pusasda di Dun Bagan Pinang dan Dewan Serbaguna Kem Segenting bagi Dun Linggi.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment