Memupuk kesedaran pengurusan sisa
BARU-BARU ini kerajaan telah mengumumkan akan mengambil langkah mengharamkan penggunaan straw plastik bermula pada 1 Januari 2020 di mana kenyataan kerajaan ini memberi pelbagai reaksi oleh netizen di media sosial.
Ramai menyangka langkah kerajaan tersebut akan mendapat sambutan positif netizen memandangkan ia satu langkah penjagaan alam sekitar yang lestari serta beranggapan generasi kini sudah terdedah tentang isu alam sekitar yang semakin serius.
Penulis yakin pengenalan kepada konsep Mengurangkan, Guna Semula & Kitar Semula atau lebih dikenali sebagai â3Râ ini telah diajar di semua peringkat sekolah serta peringkat pendidikan tinggi, namun adakah kita yakin mereka memahami sepenuhnya konsep tersebut?
Tinjauan dan pemerhatian penulis baru-baru ini kepada komuniti universiti melalui aktiviti penggunaan tong kitar semula mendapati, sisa masih tidak diasingkan dengan sempurna apalagi untuk mencapai sifar sisa secara total seperti yang sedang dibuat oleh negara Jerman, Austria, Wales dan Korea Selatan.
Melalui beberapa siri ceramah kepada para pelajar juga mendapati hampir kesemuanya tidak sedar tentang amalan 3R dan penggunaan tong kitar semula yang betul. Jadi tidak hairanlah andai masih ada masyarakat yang menolak pengharaman straw plastik serta tidak peduli tentang penggunaan beg plastik kerana kebanyakan mereka beranggapan semua benda tersebut boleh dikitar semula dengan mudah tanpa memahami fungsi dan amalan sebenar kitar semula.
Bila setiap kali nampak simbol tiga anak panah berbentuk tiga segi berwarna hijau, saya yakin ramai daripada kita cuma ingat perkataan Kitar Semula (Recycle) dan lupa kepada perkataan Mengurangkan (Reduce) dan Guna Semula (Reuse) tersebut. Perkara yang harus difahami semua adalah Kitar Semula dan Guna Semula itu adalah alternatif kepada tujuan asal iaitu mengurangkan sisa.
Secara logiknya, pertambahan jumlah sisa akan berkadar terus dengan jumlah populasi penduduk. Andai perkara ini tidak dibendung maka kemusnahan alam sekitar akan lebih banyak berlaku. Spesies hidupan laut dan darat akan terancam oleh sisa yang dibuang oleh mereka yang tiada kesedaran tentang bahayanya sisa tidak mudah urai seperti straw plastik dan sebagainya.
Untuk penguraian, bahan plastik adalah mengambil masa 10 ke 1,000 tahun untuk terurai, bahan aluminium pula mengambil masa 80 hingga ke 200 tahun dan bahan kaca mengambil masa berjuta tahun atau tidak terurai langsung.
Sejarah â3Râ bermula pada 22 April 1970, di mana buat pertama kalinya sambutan Hari Bumi diraikan. Ia dicetuskan oleh senator Wisconsin, Gaylord Nelson yang mendapat ilham hasil kesan Perang Vietnam di mana kemusnahan alam sekitar yang teruk berlaku di Vietnam pada masa itu. Bermula dari itu juga, Amerika mula mengambil tahu isu pemuliharaan dan isu alam sekitar.
â3Râ adalah perkara biasa pada hari ini lebih-lebih lagi ia telah diperkenalkan di sekolah terutama semenjak wujudnya Matlamat Pembangunan Millennium atau dikenali sebagai Millennium Development Goals (MDG) yang telah diperkenalkan dunia melalui Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2000 sehinggalah tamat pada tahun 2015 yang kemudiannya diganti dengan Matlamat Pembangunan Mampan atau popular sebagai Sustainable Development Goals (SDG).
SDG yang mempunyai sebanyak 17 matlamat pula menyenaraikan beberapa fakta penting termasuk alasan untuk mengurangkan sisa plastik dan menyenaraikan beberapa matlamat penting untuk tindakan semua Yang boleh dilihat pada matlamat ke-12 (SDG 12) iaitu tentang tanggungjawab pengguna dan pengeluaran di mana secara langsung ia mampu membantu mencapai matlamat ke-14 (SDG 14) iaitu matlamat yang berfokuskan kelestarian hidupan akuatik, matlamat ke-15 (SDG 15) iaitu tentang kelestarian hidupan atas darat dan matlamat-matlamat pembangunan mampan yang lainnya, di mana matlamat tersebut kesemuanya adalah saling berkait dan bergantung.
Dengan pengenalan kepada matlamat-matlamat tersebut kita berharap generasi hari ini akan lebih peka dan menjaga alam sekitar demi manfaat generasi akan datang.
Sebagai rumusan, kesedaran generasi muda tentang pengurusan sisa yang betul serta konsep 3R perlu dipupuk sejak awal lagi. Melestarikan penyampaian ilmu kepada semua generasi tentang pengurusan sisa yang betul adalah amat penting demi kelestarian dan kesejahteraan negara pada masa hadapan.
* Penulis ialah Pegawai penyelidik Pusat Kajian Kelestarian Global USM, Pulau Pinang
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment