Ketatkan undang-undang penjualan arak
GEORGETOWN - Angkatan Belia Islam Malaysia Pulau Pinang (ABIMPP) menggesa kerajaan memperketatkan undang-undang penjualan arak secara terbuka di negara ini.
Ketua penerangannya, Syed Mikael Rizal Aidid berkata, kerajaan perlu memandang serius terhadap penjualan arak di kedai serbaneka dan pasaraya.
Menurutnya, undang-undang berkaitan penjualan arak juga perlu dipinda agar ia hanya dijual di kedai arak sahaja.
"ABIMPP menggesa pihak berkuasa tempatan dan di peringkat negara menerusi Dewan Rakyat memandang serius isu ini. Kami mahu undang-undang dan peraturan berkaitan penjualan arak dipinda dan diperketatkan iaitu penjualan arak dihadkan dijual di kedai arak sahaja.
"Bukannya secara terbuka di kedai serbaneka atau pasaraya. Ini kerana, ia bukan hanya menjejaskan komuniti muslim, malah agama lain pun menolak arak sebagai norma kehidupan dan arak terbukti boleh memporak perandakan keluarga dan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan tadi.
Tambahnya, pihaknya memandang serius terhadap insiden seorang pembantu kedai serbaneka diherdik dan dimalukan oleh pelanggannya hanya kerana tidak mahu menyentuh arak yang dibeli.
"Insiden itu adalah satu penghinaan dan tidak wajar kerana ia seperti memperlekehkan agama Islam. Arak sepertimana yang disabdakan Nabi Muhamad SAW, ia merupakan ibu segala dosa. Sesiapa sahaja terlibat dengan arak, termasuk yang menghidangkan, juga akan berdosa.
"Atas dasar ini, ABIMPP menyarankan pekerja-pekerja muslim menjauhi segala jenis pekerjaan yang berkaitan dengan arak. Kami percaya, dengan menghadkan penjualan arak di kedai tertentu sahaja, ia mampu mengelakkan insiden seperti pekerja Islam dimalukan di kaunter jualan awam berulang lagi," katanya.
Sebelum ini, tular satu klip video berdurasi 5 minit 15 saat yang dipercayai dirakam sendiri oleh seorang pembeli arak yang mengherdik pembantu kedai serbaneka kerana enggan memegang botol arak yang dibelinya.
Insiden itu berlaku di kaunter pembayaran di mana, si pembeli berang lalu mengeluarkan kata-kata kesat apabila pembantu kedai tersebut enggan memegang botol arak kerana berada dalam keadaan berwuduk.
Walaupun telah diterangkan oleh rakan sekerja pembantu kedai tersebut, lelaki itu masih tidak berpuas hati sambil mengatakan bahawa kedai serbaneka adalah premis yang terbuka untuk semua kaum.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment