Tular 'jerat tali pancing' penyamun

Monday, September 17, 2018

Tular 'jerat tali pancing' penyamun

Tular 'jerat tali pancing' penyamun

GOMBAK - Penduduk Gombak terutamanya pengguna yang kerap melalui susur masuk dari Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) untuk ke taman perumahan koperasi fasa 1 dan Taman Rowther diingatkan untuk lebih berhati-hati kerana dikatakan terdapat 'jerat' dipasang di situ dipercayai untuk melakukan jenayah samun.

Maklumat tersebut dimuatnaik melalui posting seorang pengguna Facebook semalam, yang kemudiannya tular dan dikongsi oleh pemilik Facebook lain.

Menurut status itu lagi, 'jerat' dipasang diperbuat daripada tali pancing yang permukaannya didakwa sangat kasar dan biasanya taktik itu digunakan untuk menyamun pengguna motosikal di laluan motosikal.

Penulis status itu juga mendakwa itu juga antara sebab ramai pengguna motosikal atau 'mat motor' takut untuk menggunakan laluan motosikal terutamanya pada waktu malam.

Penulis turut memberitahu 'jerat' dipasang jika terkena kepada penunggang motosikal yang memakai topi keledar serta menunggang perlahan tetap boleh mencederakan dan menyebabkan ia koyak.

"Apatah lagi yang tidak memakai topi keledar dan tunggang laju,  sudah tentu boleh cedera di bahagian leher, "petik status itu lagi.

Status yang tular sejak semalam.

Status sama turut memberitahu situasi itu dilihat remeh tapi sebenarnya sangat berbahaya dan meminta semua penduduk Gombak khususnya untuk lebih berhati-hati pada waktu malam dan menularkan maklumat tersebut demi keselamatan semua.

Turut dikongsikan beberapa keping gambar bersama maklumat yang dikongsikan sebagai bukti.

Tinjauan Sinar Harian menerusi Facebook mendapati status itu mendapat 8,300 'likes', 8,200 komen serta 15 perkongsian sejak dimuatnaik semalam.

Malah, komen terhadap maklumat tular itu masih aktif dibincangkan di kalangan netizen sehingga setakat jam 10.20 pagi ini.

Rata-rata netizen menzahirkan rasa takut serta bimbang dengan keadaan tersebut, malah ada juga dilihat bertindak 'tagged' nama rakan serta ahli keluarga masing-masing dipercayai untuk berkongsi maklumat tersebut.

Sementara itu,  Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan dakwaan yang ditular itu baru pertama kali berlaku.

"Kita sedang semak kesahihan maklumat termasuk tindakan yang boleh diambil ke atas penyebar kerana kenyataan tersebut boleh menggugat ketenteraman awam dan ganggu gusar jika tidak benar," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment