PH guna 'undang-undang kroni'
KUANTAN - Tindakan Jabatan Peguam Negara menarik balik pertuduhan ke atas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng atas tuduhan rasuah menggambarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menggunakan 'rule of law' yang dilaungkan.
Ahli Parlimen Paya Besar, Shahar Abdullah berkata, sebaliknya PH menggunakan 'undang-undang kroni' yang berat sebelah.
Menurutnya, pembebasan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang terpalit skandal pembelian banglo tu juga menunjukkan sikap mereka yang sebenarnya tidak pernah memperjuangkan keadilan.
Katanya, perjuangan PH menjadi kerajaan hanya untuk kepentingan peribadi dan menyelamatkan 'tembolok' masing-masing.
"Berdasarkan kenyataan Peguam Negara, Tommy Thomas pada 2 Ogos lalu, beliau tidak akan campur tangan dalam membuat keputusan untuk kes yang membabitkannya secara peribadi, termasuk kes rasuah Guan Eng tetapi hari ini, sebaliknya berlaku.
"Sehinggakan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri terkejut dengan keputusan Jabatan Peguam Negara menarik balik kes yang ditafsirkan sebagai konflik kepentingan di pihak Tommy," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Penerangan Pemuda Umno ini berkata, pembebasan Guan Eng merupakan satu pengkhianatan kepada rakyat yang mengundi mereka.
"Rakyat percaya dengan dakyah mereka yang mengatakan bahawa PH akan menjadi kerajaan yang 'bersih' sambil menuduh BN sebelum ini sebagai kerajaan yang korup.
"Belum pun sampai setahun pemerintahan mereka, pelbagai isu berkenaan 'kroni', keputusan berat sebelah yang terpaksa ditelah rakyat," katanya.
Shahar berkata, sekiranya itulah Malaysia Baharu yang dilaungkan PH, beliau percaya dalam masa lima tahun, negara ini akan berada pada tahap lebih parah daripada sekarang.
"Kepemimpinan PH jangan terlalu gembira dan bongkak apabila anda berada 'di atas'. Sedarlah bahawa rakyat sedang memerhatikan dan kuasa rakyat juga yang akan menjatuhkan kerajaan ini dalam masa lima tahun lagi," katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng bebas tuduhan rasuah]
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment