Najib beri penjelasan surat bukti derma

Monday, September 17, 2018

Najib beri penjelasan surat bukti derma

Najib beri penjelasan surat bukti derma

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjelaskan tentang surat diterimanya, yang dikaitkan sebagai bukti beliau menerima derma berbilion ringgit menerusi akaun peribadinya.

Najib berkata, semua surat yang diterima oleh bank dan beliau adalah menggunakan kepala surat Putera Abdulaziz Al-Saud serta tanda tangan yang sama.

"Saya tidak boleh mengesahkan apa yang dikatakan penyiasat mengenai tandatangan itu.

"Apa yang saya tahu dalam dunia perniagaan, ada juga berlaku kakitangan menandatangani surat bagi pihak majikan mereka," katanya dalam kenyataan di Facebook peribadinya hari ini.

Beliau berkata demikian untuk memberi maklum balas susulan laporan media, memetik kenyataan seorang penyiasat yang tidak dinamakan.

Menerusi laporan itu, penyiasat berkenaan mendakwa, semua surat berkaitan derma tidak ditandatangani Putera Abdulaziz Al-Saud sendiri, sebaliknya oleh seseorang yang mendakwa dirinya sebagai pembantu putera itu.

Dalam pada itu, Najib berkata, semua artikel yang disiarkan itu tidak menyatakan dokumen rasmi bank yang menunjukkan pemindahan-pemindahan dana yang mengiringinya.

"Pemindahan-pemindahan dana itu dibuat melalui akaun bank Kementerian Kewangan Arab Saudi dan dari bank akaun milik Putera Faisal bin Turkey bin Al-Saud di Arab Saudi.

"Semua pemindahan-pemindahan dana juga tidak pernah dipertikaikan oleh bank penerima ataupun Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya.

Beliau yang juga bekas Presiden Umno berkata, artikel terbabit juga tidak menyatakan fakta bahawa beliau sudah memulangkan RM2.6 bilion kepada syarikat Tanore beberapa bulan selepas menerimanya.

"Ia sebagaimana ditunjukkan oleh dokumen bank yang saya kongsikan minggu lalu. Pemulangan dana yang disebut RM2.6 bilion ini turut diakui oleh Wall Street Journal (WSJ) melalui buku ‘The Billion Dollar Whale’.

"Ini membuktikan saya tidak mencuri atau menyimpan berbilion ringgit untuk kegunaan peribadi dan saya bukanlah penyangak, penyamun atau pencuri sebagaimana dituduh pelbagai pihak," katanya.

Walaupun dokumen bank pemberian balik dan buku WSJ mengesahkannya, namun katanya, pemimpin PH dan pihak penyiasat masih tetap tidak mahu menyebut fakta tersebut.

Selain itu, beliau berkata, penting juga untuk memberi perhatian dengan surat pertama menggunakan kepala surat dan tandatangan yang sama bertarikh 1 Februari 2011 selepas bekas Raja Arab Saudi yang mangkat, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz berjanji akan membantunya dengan dana dan diperkenalkan kepada Putera Abdulaziz Al-Saud dan Putera Faisal.

"Surat ini dihantar sebelum dana-dana daripada Putera Faisal dan Kementerian Kewangan Arab Saudi diterima.

"Kemudiannya pada Jun 2011, kedua-dua Putera Abdulaziz dan Putera Faisal hadir di majlis pertunangan anak perempuan saya di Seri Perdana di mana saya turut mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana menguruskan sumbangan derma bagi pihak Raja Abdullah," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: RM2.6b: Nah ini buktinya, dedah Najib]

Khamis lalu, Najib mendedahkan bukti wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya sudah dipulangkan dalam tempoh empat bulan.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment