Hari Kebangsaan, Malaysia dicadang sambut di setiap negeri
SERI KEMBANGAN - Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mengemukakan cadangan supaya sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang dianjurkan di peringkat nasional oleh kerajaan setiap tahun, turut disambut secara besar-besaran di peringkat negeri, mulai tahun hadapan.
Gobind berkata beliau akan membentangkan kertas cadangan berkenaan kepada Kabinet dalam masa terdekat.
"Ini satu perkara sangat penting, kita pergi Kota Kinabalu semalam, saya tengok sambutan sangat luar biasa semua tunjukkan semangat kemalaysiaan kita.
Saya tengok ini satu perkara penting kita perlu pastikan dua tarikh ini disambut besar-besaran di setiap negeri. Ini adalah pandangan saya selaku Menteri Komunikasi dan Multimedia," katanya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Puchong itu ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Malaysia peringkat Parlimen Puchong yang dianjurkan buat kali ketiga di sini, hari ini. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment