Dua anggota polis didakwa terima suapan

Monday, September 17, 2018

Dua anggota polis didakwa terima suapan

Dua anggota polis didakwa terima suapan

JOHOR BAHRU - Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan meminta dan menerima suapan bernilai RM400, tahun lalu.

Tertuduh, Lans Koperal Cornelius Guntalib, 27, dan Lans Koperal (Sokongan) Muhammad Asrol Che Hassan, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Kamarudin Kamsun.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama dengan niat meminta suatu suapan wang tunai bernilai RM500 daripada penjaga kedai komputer berusia 28 tahun.

Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan saman terhadap pemuda itu kerana memiliki cukai jalan tamat tempoh dan tidak memiliki lesen motosikal.

Kedua-dua tertuduh juga diminta tidak mengambil tindakan ujian saringan air kencing terhadap individu sama pada jam 5.20 petang.

Dua anggota polis kemudiannya berdepan tuduhan kedua bersetuju menerima wang tunai bernilai RM400 pada jam 5.30 petang sebelum berdepan tuduhan ketiga menerima rasuah bernilai RM400 pada jam 8.10 malam.

Ketiga-tiga perbuatan itu dilakukan di Pondok Komuniti Tampoi Indah, Jalan Mawar, Taman Tampoi Indah 2, Tampoi pada 16 Jun tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nor Syarina Raizan, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Fairoz Majeed.

Tertuduh kemudiannya diberi ikat jamin RM10,000 bersama seorang penjamin selain mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 18 Oktober ini.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment