Sindrom kebergantungan hidup
KITA bakal menyambut kemerdekaan kali ke-61. Banyak yang telah dicapai sebagai sebuah negara yang dijajah sehingga kemerdekaan dikumandangkan pada 31 Ogos 1957. Mengimbau babak pengisian kemerdekaan mengingatkan kita betapa indahnya saat Union Jack diturunkan dan Jalur Gemilang dikibarkan.
Sudah tentu erti kemerdekaan hanya dapat dijiwai setelah kita faham apa erti penjajahan. Penjajah Inggeris sebenarnya tahu makna kemerdekaan yang sesungguhnya sebab ketika London bersetuju memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu, mereka tahu bahawa hakikat kemerdekaan adalah membebaskan suatu bangsa itu dari sebarang kecenderungan hidup bergantung.
Kebergantungan adalah suatu sikap dan pemikiran yang bersandarkan nasib diri kepada bantuan sepenuhnya kepada pihak lain tanpa ada sedikit pun rasa mahu berusaha sendiri. Dalam konteks sebuah bangsa dalam sebuah negara, ia bermakna nasib bangsa itu seluruhnya ditentukan oleh keputusan dan bantuan daripada kerajaan yang berkuasa.
Malangnya antara gejala kebergantungan bangsa ini masih gagal diatasi hingga sekarang. Mentaliti subsidi yang pernah hangat dibincang agar bangsa Melayu keluar dari kecenderungan terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan belum memberi kesan. Akibatnya muncul gejala hidup complacent iaitu selesa dengan apa yang ada.
Pihak kerajaan telah memperkenalkan pelbagai skim bantuan dan subsidi untuk melonjak orang Melayu agar mampu duduk sama tinggi dan berdiri sama taraf dengan bangsa lain. Namun setelah tamat DEB pada 1990 ternyata ketinggalan dan kemunduran orang Melayu masih terasa dan tidak dapat diselindungi.
Puluhan agensi Melayu telah diwujudkan, ternyata, berbanding berbilion dana dibelanjakan namun impak yang diperoleh untuk meningkat martabat ekonomi Melayu masih tidak sepadan. Agensi seperti Mara, PNB, Tabung Haji, UDA, Felcra, Felda adalah antara agensi besar telah diwujudkan puluhan tahun. Namun terlalu banyak kepincangan dan ketirisan berlaku sehingga nasib bangsa Melayu belum cukup berubah sepenuhnya.
Mungkin ada yang mendakwa terdapat banyak kemajuan yang telah dicapai hasil dari program yang mengutamakan orang Melayu melalui DEB. Namun yang jelas bangsa Melayu terus dilanda penyakit bergantung. Seolah-olah tanpa bantuan, orang Melayu tidak mungkin mencapai apa-apa kemajuan.
Kita harus bertanya kenapa bangsa Melayu masih dijangkiti dengan budaya kebergantungan ini. Suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah pendekatan oleh kerajaan telah gagal mengatasi budaya kebergantungan, malah sebaliknya telah menjadikan hidup bergantung orang Melayu semakin mendarah daging. Kerajaan selama ini menjadikan kebergantungan sebagai senjata untuk mengekalkan sokongan politik.
Segala kemajuan yang didakwa dicapai oleh orang Melayu tidak dapat dipisahkan dari unsur bantuan kerajaan. Dari aspek pendidikan sehinggalah kepada penyediaan bantuan sektor pertanian. Dari bantuan projek atas nama kuota Bumiputera sehinggalah kepada persoalan bantuan mendapatkan skim buku pinjaman di sekolah. Pokoknya kemajuan orang Melayu sangat bergantung bantuan kerajaan dan muncullah kata-kata Melayu tanpa Umno, akan mati.
Pemimpin kerap juga kedengaran melontarkan pandangan mengenai perlunya orang Melayu berubah dari mentaliti subsidi dan kebergantungan kepada hidup berdikari. Namun dalam retorik hidup berdikari itu, pemimpin politik masih mahu orang Melayu terus bergantung kepada kerajaan. Ini sahajalah senjata survival politik yang mereka ada.
Akan tetapi sebenarnya kerajaan agak keberatan untuk menukar pendekatan memberi bantuan ini kerana ternyata pihak kerajaan menimbangkan implikasi politik yang sukar dikawal bila orang Melayu sudah berdikari sepenuhnya dari pemerintah. Kemandirian orang Melayu bermakna orang Melayu merdeka dari bergantung kepada pemerintah dan dengan yang demikian orang Melayu tidak akan terikat dengan pemerintah dalam membuat pilihan dan menentukan sikap politik mereka.
Politik pembangunan tidak harus terus mengikat orang Melayu. Orang Melayu akan lebih bebas dan lebih kritikal terhadap kerajaan jika mereka berdikari. Orang Melayu akan lebih bermaruah dan punya harga diri bila mereka menentukan sikap politik mereka.
Jika kerajaan mahu meneruskan agenda pemerkasaan bangsa Melayu maka pendekatan yang lebih menumpu kepada pembangunan potensi manusia untuk hidup berdikari perlu diberi perhatian. Pembinaan sikap, jiwa dan pemikiran yang lebih kritikal untuk merubah nasib bangsa Melayu sebagai bangsa merdeka perlu diperkukuhkan sebagai program teras pemerkasaan bangsa.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment