Rezeki musim durian
SEGAMAT - Daerah Segamat sememangnya terkenal di negeri Johor sebagai lokasi pengeluaran durian dan setiap kali musim raja buah itu tiba, daerah ini biasanya menjadi tumpuan pengunjung terutamanya peminat buah-buahan tersebut.
Apa yang menariknya, musim buah yang tiba sekali setahun ini mempunyai cerita sebaliknya apabila raja buah itu ternyata memenuhi ruang gerai buah-buahan berbanding buah-buahan tempatan yang lain.
Ramai peniaga dan pemilik dusun durian juga tidak melepaskan peluang untuk memanfaatkan peluang tersebut bagi menambah pendapatan dengan wujudnya gerai-gerai buah di beberapa lokasi strategik di tepi-tepi jalan raya di sekitar daerah ini.
Pemilik dusun durian, Arman Ishak, 60, berkata, musim durian kali ini membawa pulangan yang lumayan buat dirinya apabila dusun duriannya seluas kira-kira tiga ekar di Batu 8, Jementah, di sini, membuahkan hasil yang banyak.
âDisebabkan buah yang terlalu banyak pada setiap pokok, saya terpaksa mengikat dahan pokok durian ini bagi mengelakkannya patah selain terpaksa memasang jaring bagi memastikan buah yang jatuh tidak rosak.
âApa yang saya lihat, buah durian memang sangat banyak pada musim ini berbanding musim-musim sebelumnya. Sebelum ini banyak putik durian yang tak jadi disebabkan faktor cuaca dan serangan haiwan perosak,â katanya.
Arman berkata, antara pokok durian yang terdapat di dusunnya adalah durian kampung, D24, D13, musang king, tembaga, duri hitam dan udang merah yang harga pasarannya di antara RM7 sehingga ratusan ringgit sekilogram.
Katanya, kos bagi pemasangan jaring dan dawai untuk setiap pokok juga mencecah RM150 selain akan memasarkan duriannya kepada peraih-peraih buah yang terdapat di sekitar daerah ini setiap hari.
Sementara itu, peraih buah-buahan, Yow Qian Huat, 72, berkata, walaupun terdapat penawaran durian yang banyak pada kali ini, harga yang ditawarkan juga masih tidak jauh berubah berbanding sebelum ini.
âHendak kata murah pun tak juga kerana sekarang permintaan durian sangat tinggi sama ada dari dalam dan luar negara. Ada kalanya, kita terpaksa mengeksport buah-buahan ini ke Singapura, Thailand dan China.
âDurian paling mahal ialah durian jenis D24 kerana isinya yang gebu kekuningan, berulas besar manakala durian kampung isinya padat manis dan ada bau aura durian. Durian kampung juga antara yang paling digemari pembeli,â katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment