Lemang susu penyeri Aidilfitri

Wednesday, July 4, 2018

Lemang susu penyeri Aidilfitri

Lemang susu penyeri Aidilfitri

LEMANG adalah sejenis makanan tradisi Melayu Islam di Malaysia, terutama negeri Perak, malah mendapat sambutan apabila tiba musim perayaan Aidilfitri.

Ia bukan sekadar pelengkap sambutan hari mulia berkenaan, malah merupakan sumber rezeki bermusim bagi sesetengah umat Islam di negara ini.

Antara lemang digemari umat Islam di sekitar bandar raya Ipoh, Perak ialah Lemang Susu yang berasal dari daerah Perak Tengah.

Makanan tradisi turun-temurun itu kini diusahakan seorang anak muda, Ali Hamzah, 27, bersama ahli keluarga dan rakan-rakannya di sekitar bandar raya Ipoh setiap kali menyambut Aidilfitri.

Beliau yang menjual lemang sejak berumur 19 tahun memulakan perniagaannya di sekitar kawasan rumah tempat ahli keluarganya tinggal dan ia hanya dijual kepada saudara-mara dan jiran tetangga sahaja pada ketika itu.

“Setelah mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai kami memulakan perniagaan di tepi Jalan Silibin Utara menuju Pekan Jelapang dan Taman Meru sejak lima tahun lalu, bermula empat hari sebelum menyambut hari raya.

“Pada tahun ini kami menjual kira-kira 600 batang lemang buluh membabitkan 400 kilo beras pulut dan 30 kilo santan kelapa dengan harga serendah RM15 mengikut saiz buluh iaitu besar dan panjang," katanya.

Ali berkata, perniagaannya bermula jam 9 pagi pada 26 Ramadan lalu sehingga malam menyambut hari raya tanpa henti dengan dibantu lima pekerja lain.

Menurutnya, jualan lemangnya sentiasa mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan kerana mereka sudah tahu keenakan rasa lemang tradisi berkenaan.

Sesuai dengan cita rasa pelanggan, lemang berkenaan diadun dengan pulut biasa, santan dan dicampur sedikit pulut susu.

“Pulut susu dicampur bagi melembut dan menyegarkan rasa lemang berkenaan yang menjadi kegemaran paling pelanggan kami.

“Resipi lemang ini diadun bapa kami yang berpengalaman dan mewarisinya daripada datuk-nenek turun-temurun yang berasal dari Parit dan Bota.

“Kami turut menjual rendang ayam dan daging kepada pelanggan untuk dimakan bersama lemang sebagai pembuka selera," jelasnya.

Sementara itu bapanya, Hamzah Ngah Abdullah, 72, sentiasa datang memantau lemang yang dibakar di lokasi jualan bagi memastikan ia mengikut resipi disediakan.

Hamzah berkata, lemang yang lembut dan sedap sering mendapat sambutan luar biasa pelanggan setiap tahun.

“Oleh itu saya sentiasa memastikan rasa lemang ini benar-benar menepati resipi dan rasanya sentiasa sedap serta digemari pelanggan.

“Saya sentiasa memperbaiki kualiti pembuatannya setiap kali mendapat maklum balas daripada pelanggan yang sesetengahnya datang dari luar Ipoh," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment