HFMD di Pulau Pinang meningkat

Friday, July 6, 2018

HFMD di Pulau Pinang meningkat

HFMD di Pulau Pinang meningkat

GEORGETOWN - Pulau Pinang mencatatkan peningkatan jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut sebanyak 48 peratus berbanding tahun lalu.

Exco Kesihatan, Dr Afif Bahardin berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia mudah menjangkiti orang lain, terutamanya kanak-kanak.

“Sehingga 4 Julai, jumlah kes dilaporkan adalah 1,555 kes berbanding 1,050 kes untuk tempoh sama tahun lalu.

“Sehingga kini, sebanyak 53 taska, tadika, tabika dan pra-sekolah melaporkan kluster penyakit itu di premis mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada majlis perasmian kursus Penang Parkinson’s Disease Update 2018 di Hospital Pulau Pinang, di sini.

Menurutnya, berlaku peningkatan 381 peratus berbanding hanya 11 kluster penyakit itu dilaporkan untuk tempoh sama tahun lalu.

“Penyakit tangan, kaki dan mulut ini berlaku disebabkan jangkitan virus khas dari jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71). Virus ini merebak secara kontrak dengan air liur, peluh dan najis pesakit.

“Kebiasaannya jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

“Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit ini pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh hingga 10 hari,” katanya.

Bagaimanapun, jangkitan EV71 berisiko menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary dan myocarditis.

“Oleh demikian, orang ramai khususnya pengusaha dan penjaga kanak-kanak di taska, tadika, tabika dan pra-sekolah digesa sentiasa memastikan kebersihan premis, terutama peralatan dan perkakasan yang digunakan kanak-kanak.

“Mereka juga perlu membuat saringan di premis masing-masing bagi memastikan kanak-kanak yang hadir tiada tanda-tanda jangkitan penyakit itu.

“Kanak-kanak yang didapati ada gejala jangkitan dinasihatkan supaya tidak hadir ke sekolah untuk mengelakkan jangkitan kepada kawan lain,” katanya.

Afif berkata, orang ramai dinasihat supaya sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan selepas menguruskan seorang kanak-kanak sebelum mengendalikan kanak-kanak lain.

“Ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan juga adalah dinasihatkan supaya tidak membawa anak ke tempat awam.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment