Projek KLIA Aeropolis, DFTZ diteruskan
TIADA perubahan kepada pembangunan KLIA Aeropolis dan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) buat masa ini dan ia akan diteruskan mengikut jadual asal, demikian menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Pengarah Urusan, Datuk Mohd Badlisham Ghazali berkata, setakat ini tiada arahan atau pengumuman daripada kerajaan baharu mengenai perubahan bagi kedua-dua projek atau kemungkinan dibatalkan.
"Saya telah memberi taklimat kepada Menteri Pengangkutan minggu lepas (mengenai DFTZ) dan menyatakan bahawa ia adalah perjanjian antara dua syarikat swasta, iaitu Alibaba dan MAHB, dengan penglibatan kerajaan yang minimum.
"Menteri menerima laporan terkini mengenai industri itu dan menyedari projek tersebut. Nampaknya tidak ada bantahan mengenai projek itu. Tetapi, beliau mahu mengkaji dan mendapatkan lebih banyak maklumat sebelum memberitahu kami (MAHB) (jika ada perubahan)," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di sini, hari ini.
Menyasarkan perniagaan kecil dan sederhana, DFTZ dilancarkan pada November tahun lalu dan dijangka menjadi hab logistik serantau. Ia dijadual memulakan operasi pada 2020.
Malaysia dipilih bagi menempatkan DFTZ kerana kedudukannya sebagai hab penting bagi Jalan Sutera Maritim serta usaha agresif negara untuk membangunkan ekonomi digital.
Sementara itu, mengenai KLIA Aeropolis, Badlisham berkata, pembangunan masih dijalankan dengan beberapa komitmen telah dibuat.
"Kami telah membuat komitmen sama ada untuk sebuah taman outlet, pusat beli-belah, gudang logistik, atau lain-lain yang dilakukan untuk Lapangan Terbang Subang bagi menarik lebih ramaik pelabur.
รขIni akan diteruskan seperti biasa kerana kita tahu apa yang pasaran inginkan. Kami sudah mempunyai pelanggan untuk apa yang telah dirancang dan diharap akan menandatangani lebih banyak perjanjian apabila kami pergi ke Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough pada Julai," tambahnya.
KLIA Aeropolis, hab logistik udara yang telah dimasukkan ke dalam DFTZ, akan dibina di atas tapak seluas 404.7 hektar di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan dilancarkan pada 2016. Ia dijangka menarik kira-kira RM7 bilion pelaburan asing dan domestik.
Mengenai pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaaan, Badlisham berkata, perbincangan lebih fokus kepada bagaimana MAHB dapat meningkatkan trafik penumpang pada masa depan.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment