Projek kereta nasional tingkatkan kemahiran rakyat
SHAH ALAM - Projek kereta nasional baharu melibatkan kerjasama dengan negara serantau lain dijangka akan merancakkan lagi industri permotoran negara dan memberi kesan yang positif.
Pensyarah Kanan Putra Business School, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, projek itu bersifat jangka panjang yang menggabungkan kemahiran daripada negara-negara Asean, sekali gus dapat membantu rakyat tempatan meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang tersebut.
"Sebagai contoh, kita ada perusahaan permotoran agak besar dan pesat di Thailand. Hasrat Dr Mahathir adalah untuk melihat rakyat Malaysia meningkatkan kemahiran dari segi teknologi terutamanya permotoran bila beliau menyatakan hasratnya untuk mewujudkan syarikat kereta nasional yang baharu," katanya mengulas tentang keperluan projek kereta nasional dalam keadaan negara yang menanggung hutang tinggi ketika ini.
Ahmed Razman berpandangan, sekiranya hasrat itu direalisasikan, kerajaan tidak akan menggunakan model perniagaan lama seperti mana yang diguna pakai terhadap Proton dan Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua).
Katanya, model perniagaan lama agak sukar untuk dilaksanakan sekarang kerana perniagaan permotoran memerlukan skala ekonomi yang besar, iaitu melibatkan pasaran luar negara.
"Di situlah saya melihat apabila Tun memikirkan kerjasama dengan negara Asean antaranya Thailand dan lain-lain, pasarannya lebih bersifat kepada global dan mungkin juga ianya tidak semata-mata mengeluarkan jenis kenderaan yang ada sekarang ini, tetapi juga kenderaan elektrik, kenderaan pandu sendiri dan lain-lain.
"Jadi teknologi 'Artificial Intelligence' itu yang sebenarnya Tun Dr Mahathir harapkan supaya rakyat Malaysia peroleh kemahiran tersebut, iaitu kemahirab berteknologi tinggi. Ianya bukqn semata-mata untuk bina kenderaan sedia ada menggunakan petrol, atau kita hanya jadi pengimport enjin atau pasang komponen enjin seperti dahulu," katanya.
Dalam pada itu, Ahmed Razman berkata, projek kereta nasional baharu itu tidak akan memberi saingan kepada sistem pengangkutan awam negara.
"Jika projek kereta nasional benar-benar diwujudkan, ianya tidak bercanggah antara satu sama lain dengan projek pengangkutan awam sebab pengangkutan awam khususnya untuk kemudahan rakyat Malaysia, tetapi projek kereta nasional ini ada kemungkinan pasarannya satu Asia.
"Jadi tak semestinya kita bergantung harap kepada rakyat kita untuk membeli kereta itu. Ada kemungkinan punca pendapatan ataupun fokus utama kereta nasional ini lebih kepada eksport untuk negara-negara Asia," katanya.
Dalam Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei ke-24 di Tokyo, Jepun hari ini, Dr Mahathir menyuarakan hasratnya untuk memulakan projek kereta nasional baharu.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment