111 premis, 2,389 produk diperiksa di Kluang

Monday, June 11, 2018

111 premis, 2,389 produk diperiksa di Kluang

111 premis, 2,389 produk diperiksa di Kluang

KLUANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Kluang memeriksa 111 premis perniagaan di sekitar daerah ini menerusi Operasi Anti Pencatutan Empat (Ops Catut 4.0) bermula 24 Mei lalu sehingga hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Kluang, Mohd Zulazre Mokeri berkata, pemeriksaan itu bagi memastikan pemborong, peruncit dan peniaga mematuhi peraturan selain tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang.

Menurutnya, fokus kementerian adalah isu harga yang tertakluk di bawah bidang kuasa Akta Kawalan Harga Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Pada masa ini KPDNKK Kluang pergiat operasi penguatkuasaan bagi mengesan peniaga yang didapati mencatut barang atau cuba membuat keuntungan tidak munasabah.

“Ini dilakukan bagi menangani kenaikan harga barangan sekali gus memastikan kepentingan dan hak-hak pengguna sentiasa dilindungi,” katanya selepas melakukan pemeriksaan harga barang, hari ini.

Dalam operasi yang dilaksanakan itu turut melibatkan Jabatan Kastam daerah Kluang yang berperanan memastikan premis berdaftar dengan GST mematuhi arahan ditetapkan bermula 1 Jun lalu.

Mohd Zulazre berkata, pihaknya berjaya memeriksa 111 premis dan 2,389 produk di beberapa premis di sekitar daerah ini.

Katanya, sehingga kini pihaknya menerima dua aduan daripada orang ramai berkaitan harga barang.

“KPDNKK akan ambil tindakan terhadap peniaga yang ingkar di mana denda dan penalti akan dikenakan.

“Bagi orang perseorangan, denda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi kesalahan pertama dan RM250,000 atau lima tahun penjara bagi kesalahan kedua dan berikutannya.

“Manakala bagi perbadanan atau syarikat pula dikenakan denda RM500,000 bagi kesalahan pertama dan RM1 juta bagi kesalahan kedua dan berikutannya jika sabit kesalahan,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment