Bekas Adun menang tanpa bertanding

Saturday, June 23, 2018

Bekas Adun menang tanpa bertanding

Bekas Adun menang tanpa bertanding

SEGAMAT - Bekas Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim menang tanpa bertanding jawatan Ketua Wanita Umno Bahagian Segamat bagi penggal 2018-2021 selepas tidak dicabar oleh mana-mana calon lain.

Norshida berkata, beliau yang menggalas jawatan tersebut selepas penyandangnya, Puspa Hairani Hassan membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan berkenaan akan berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno.

“Saya akan menggunakan pengalaman saya sebagai bekas Adun Buloh Kasap selama sepenggal untuk mendekati rakyat terutamanya golongan wanita kerana saya yakin masih ramai yang sayangkan parti keramat ini.

“Walaupun Umno berdepan kekalahan teruk pada PRU14 lalu, ini tidak mematahkan semangat saya untuk berbakti kepada agama, bangsa dan masyarakat ditambah pula dengan sokongan daripada akar umbi,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Segamat di Laman Warisan Senin Khanipah, Kampung Bukit Tunggal, di sini, semalam.

Menurutnya, pemilihan pada kali ini juga adalah masa untuk bersama-sama bangkit memperjuangkan semula Umno dengan memilih kepimpinan yang berkualiti dalam membuat perubahan dalam parti.

Norshida yang pernah menggalas jawatan Ketua Puteri Umno Johor sebelum ini berkata, ahli Umno di negara ini perlu kembali dan berpegang kuat kepada ideologi politik asal parti keramat ini iaitu memperjuangkan agama Islam, bangsa Melayu dan negara Malaysia ini.

“Sebagai sebuah parti yang istimewa dan banyak pengalaman, Umno juga perlu merangka dan memperkemaskan sistem politik yang ada agar bersesuaian dan diterima oleh golongan muda dan politik negara pada masa kini.

“Walau apa pun yang berlaku, kita (ahli Umno) tidak seharusnya terpesong daripada wadah perjuangan. Semoga dengan pengalaman lalu, pengajaran pada hari ini dan impian masa depan dapat membantu Umno untuk terus kekal relevan di negara ini,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment