Kes buli: 23 dikenakan bon berkelakuan baik 2 tahun

Wednesday, April 25, 2018

Kes buli: 23 dikenakan bon berkelakuan baik 2 tahun

Kes buli: 23 dikenakan bon berkelakuan baik 2 tahun

KUALA TERENGGANU: Seramai 23 bekas pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembesu dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun bercagaran RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan menyebabkan kecederaan terhadap tiga mangsa dalam kejadian buli di kolej itu Ogos tahun lalu.

Semua tertuduh yang berusia 17 tahun ketika kejadian, turut diarah melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 25 hari bulan selama dua tahun dan menghadiri bengkel interaktif anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas semua tertuduh mengaku bersalah ketika lima pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Pertuduhan terbabit dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Abdul Hayyi.

Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap tiga mangsa berusia 16 dan 17 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bilik dan luar surau kolej berkenaan antara jam 9 hingga 10.30 malam 7 Ogos tahun lalu, dan antara jam 1.35 hingga 3.40 pagi 8 Ogos tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, semua tertuduh berdepan hukuman penjara hingga satu tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Adila Mat Zaidan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment