Buli: 23 bekas pelajar dikenakan bon berkelakuan baik

Wednesday, April 25, 2018

Buli: 23 bekas pelajar dikenakan bon berkelakuan baik

Buli: 23 bekas pelajar dikenakan bon berkelakuan baik

KUALA TERENGGANU - Seramai 23 bekas pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, Kuala Nerus dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun bercagaran RM3,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana menyebabkan kecederaan terhadap tiga rakan mereka dalam kejadian buli pada Ogos tahun lalu.

Semua tertuduh yang ketika kejadian berusia 17 tahun turut diarahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap 25 hari bulan selama dua tahun dan hadir ke bengkel interaktif anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas semua tertuduh mengaku salah ketika lima pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas tiga mangsa berusia 16 dan 17 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bilik dan luar surau kolej berkenaan antara 9 malam hingga 10.30 malam pada 7 Ogos 2017 dan 1.35 pagi hingga 3.40 pagi pada 8 Ogos 2017.

Bagi kesalahan itu, semua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan.

Akhbar sebelum ini melaporkan perasaan tidak puas hati antara pelajar senior dan junior dipercayai punca kejadian buli membabitkan tiga mangsa di kolej vokasional berkenaan.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment