Bank Rakyat rai kanak-kanak autisme

IPOH: Sempena musim cuti sekolah baru-baru ini, Bank Rakyat membawa 30 kanak-kanak daripada Pusat Autisme Ideas bagi merasai pengalaman baharu di Taman Tema Animasi Studio (MAPS) pertama Malaysia.
Naib Presiden, Pemasaran dan Komunikasi, Nizam Sani berkata, Bank Rakyat sentiasa prihatin dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memberikan pengalaman dan ilmu berharga kepada kanak-kanak autisme di seluruh negara melalui program yang dianjurkan.

"Menerusi program ini, Bank Rakyat membawa kanak-kanak autisme berumur dari empat hingga sembilan tahun, bersama ibu bapa serta guru untuk melawat taman tema animasi tempatan terbaharu tersebut dan memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari suasana baharu serta menikmati keseronokan melalui pelbagai permainan yang berkonsepkan watak animasi dalam dan luar negara.
"Bukan itu sahaja, suasana di MAPS yang mempunyai pelbagai elemen visual dan bunyi seperti tayangan 4D dilihat bersesuaian bagi pembelajaran terapeutik anak-anak autisme ini di samping dapat meningkatkan pembangunan sosial," katanya.
Pada masa yang sama, ibu bapa dan guru turut gembira atas inisiatif Bank Rakyat tersebut.
Bapa kepada anak autisme Muhammad Faiz Hakim Shukri, Shukri Zainol berkata, program lawatan seperti itu merupakan satu inisiatif yang dapat membuka mata masyarakat terhadap golongan autistik dan memberi peluang kepada mereka berinteraksi dengan dunia luar seperti kanak-kanak lain.
"Menerusi program seperti ini, ibu bapa dapat melihat perkembangan anak-anak apabila mereka keluar dari dunia sendiri dan berinteraksi dengan dunia luar," katanya.

Mardiana Mohamad, ibu kepada kanak-kanak autisme ,Muhamad Mikael Hisham pula berkata, beliau gembira dan bersyukur kerana diberi peluang oleh Bank Rakyat untuk membawa anak beliau ke taman tema animasi ini.
"Saya gembira kerana dapat melihat perkembangan anak saya terutama dari segi mereka bersosial dalam kelompok yang besar."
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment