Sufian Suhaimi selesa kekalkan imej berjambang

Monday, September 3, 2018

Sufian Suhaimi selesa kekalkan imej berjambang


Sebaik tampil dengan lagu baharu berjudul Di Matamu yang melonjakkan namanya, tak dinafikan personaliti Sufian mula menjadi perhatian ramai termasuklah imej berjambangnya yang diperkatakan umum.

Menurut anak kelahiran Muar, Johor itu, awalnya dia tidak merancang untuk berpenampilan sedemikian, namun hadir tanpa sengaja dek kesuntukan masa memperkemaskan ketrampilan diri.

“Jambang saya memang jenis panjang. Kalau hari ini cukur, esok dah mula tumbuh balik.

“Awal tahun hari tu, kebetulan memang tak cukup masa untuk memperkemaskan diri. Apabila ditangguh dari satu hari ke satu hari, makin panjanglah jadinya.

“Tak sangka pula, penampilan berjambang yang tak disengajakan itu mendapat respons positif daripada banyak pihak,” jelasnya.

Disebabkan maklum balas yang diperoleh, akhirnya Sufian ambil keputusan untuk membiarkan jambangnya.

Kata Sufian, dia semakin selesa dengan penampilan terkininya itu, malah tidak mengambil masa yang lama untuk bersiap ke mana-mana.

“Dulu banyak masa terbazir dalam bilik air sebab nak cukur kasi licin. Sekarang ini, cukup sekadar merapikan sahaja asal nampak kemas,” ujarnya.

Terdahulu, Sufian sempat mengucapkan tahniah kepada bekas tunangnya, Elfira Loy, 24, yang telah mengikat tali pertunangan dengan seorang jejaka dikenali sebagai Faris, semalam. - UTUSAN ONLINE



sumber: utusan

0 comments:

Post a Comment