Semangat bekas komando tak pernah pudar

Monday, September 17, 2018

Semangat bekas komando tak pernah pudar

Semangat bekas komando tak pernah pudar

KLUANG â€" Walaupun sudah 32 tahun bersara sebagai anggota tentera, semangat juang sebagai bekas veteran komando Rejimen Gerak Khas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak pernah sesekali pudar.

Apatah lagi setiap kali mendengar atau terbaca apa sahaja tulisan berkaitan komunis, pasti akan terbit perasaan marah di dalam dirinya kerana ramai rakan sepasukannya gugur di hadapan mata ketika memerangi musuh di dalam operasi ketenteraan yang pernah disertainya.

Menceritakan detik pengalamannya, Yang Dipertua Kelab Veteran Komando Johor (KVKJ), Ghali Hassan, 72, berkata, Operasi Morotai di Sabah ketika menentang Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) menjadi operasi pertama yang disertainya.

“Ketika itu, perkhidmatan saya baru di dalam Tentera Darat Malaysia danperasaan saya memang bercampur baur di antara berani dan juga takut kerana diamanahkan mempertahankan kedaulatan negara.

“Dalam operasi tersebut, saya diletakkan sebagai anggota seksyen Senjata Bantuan yang menjadi nadi utama kejayaan pasukan selain ditugaskan untuk mencari musuh dan memusnahkan penempatan mereka,” katanya ketika ditemui di Taman Datuk Amar, di sini.

Katanya, tugasan pertama sebaik sahaja mencecah kaki di bumi Morotai, pasukannya ditugaskan untuk membuat pembersihan dan rondaan bagi mencari musuh yang dipercayai bersembunyi di dalam sebuah ladang koko di tengah-tengah hutan.

Menurutnya, dalam operasi tersebut, pasukannya berjaya membunuh beberapa anggota TNKU dan daripada pengalaman pertama itu, ia telah membangkitkan keberanian dan semangat juangnya apabila ditugaskan untuk membuat pembersihan di kawasan musuh.

“Antara pertempuran yang tidak boleh dilupakan apabila kenderaan tentera yang dinaiki kami untuk ke Sematan diserang hendap oleh pasukan komunis di atas jambatan di Kampung Serayan Hilir di Lundu, Sarawak.

“Bagaimanapun, kami sempat melompat keluar daripada kenderaan itu dan berlindung di sebalik pokok durian dan seterusnya membalas tembakan musuh sebelum rakan sepasukan datang membantu,” katanya.

Ghali berkata, dalam pertempuran tersebut, beberapa orang musuh berjaya ditumpaskan manakala tiga daripada rakan sepasukannya maut akibat terkena tembakan musuh dan peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap dirinya sehingga kini.

Katanya, selain di Lundu, pasukannya yang ditempatkan di Kem Sebatang Kara, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 1968 juga beberapa kali ditugaskan untuk menjalankan operasi pembersihan di negeri-negeri di utara semenanjung.

Setelah bersara dengan pangkat sarjan pada 6 November 1986, jasa Ghali dalam mempertahankan tanah air tidak pernah dilupakan apabila dikurniakan pelbagai pingat sebagai menghargai apa yang telah dilakukan olehnya sepanjang berkhidmat di dalam pasukan tentera.

“Saya telah dikurniakan Pingat Jasa Malaysia (PJM), Pingat Pangkuan Negara (PPN), Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) dan Pingat Ibrahim Sultan (PIS) yang kini menjadi kebanggaan dan tetap tersemat megah setia kali menyarung baju KVKJ.

“Walaupun darah keperwiraan ini tidak diwarisi oleh keluarga saya, namun semangat perjuangan untuk mempertahankan negara daripada anasir musuh tetap diperturunkan kepada anak-anak muda di Kluang,” katanya.

Ghali yang kini tidak lagi boleh berjalan jauh akibat daripada kaki kanannya yang semakin membengkak akibat penyakit kencing manis dan terlibat dalam kemalangan kecil baru-baru ini mengharapkan anak-anak muda masa kini menghargai keamanan yang dikecapi sekarang.

“Setidak-tidaknya hargailah jasa pejuang-pejuang negara yang telah bergadai nyawa sehingga negara kita mengecapi keamanan pada masa kini kerana kehancuran boleh berlaku dalam masa yang singkat, namun untuk memulihkannya memerlukan puluhan tahun.

“Sebab itu saya marah apabila ada pihak yang cuba menyanjung komunis kerana kami telah bermandi darah untuk memastikan negara ini bebas daripada pengganas dan jika diperlukan, saya akan kembali mengangkat senjata bersama-sama berjuang,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment