'Tiga penyamun tak sempat joli'
KEPALA BATAS - Belum sempat menikmati hasil kegiatan samun yang dijalankan, tiga lelaki akhirnya dicekup polis dalam kejadian di Ampang Jajar, Bagan di sini semalam.
Ketiga-tiga suspek warga tempatan tersebut dipercayai terlibat dalam kegiatan samun dan pecah rumah di sekitar kawasan Ampang Jajar, Bagan, dan beberapa kawasan di sekitar Kulim, Kedah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dua suspek dulu berjaya dicekup ketika sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah D9 IPD Seberang Perai Utara melakukan rondaan.
"Pasukan itu terserempak dengan sebuah kereta Honda Civic berwarna kuning yang dinaiki dua suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum berjaya ditahan di Sungai Prai dalam keadaan basah dan berlumpur," katanya.
Menurutnya, soal siat ke atas kedua suspek mendedahkan seorang lagi suspek turut terlibat.
"Seorang lagi suspek kemudiannya ditahan polis di sebuah kawasan perumahan di kawasan Telaga Air, Butterworth, dan barang kes turut dirampas.
"Dengan tertangkapnya ketiga suspek ini, polis berjaya menyelesaikan hampir tujuh kes di kawasan Seberang Perai Utara, dan hasil pengakuan ketiga suspek, mereka turut mengaku terlibat dalam kejadian pecah rumah di kawasan Kedah," katanya.
"Nilai keseluruhan barangan yang dirampas sebanyak RM44,000. Ketiga suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment