Penganggur ditahan miliki dadah, motosikal curi

Monday, September 17, 2018

Penganggur ditahan miliki dadah, motosikal curi

Penganggur ditahan miliki dadah, motosikal curi

PENDANG - Seorang penganggur ditahan pihak polis kerana memiliki dadah jenis heroin dan syabu ketika pemeriksaan dilakukan ke atasnya semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arizz Sham Hamezah berkata, lelaki yang ditahan itu berusia 32 tahun.

Katanya, suspek berjaya ditahan oleh anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang pada jam 6 petang semalam di tepi Jalan Kampung Chegar.

"Hasil siasatan mendapati motosikal suspek juga merupakan kenderaan yang pernah dilaporkan hilang," katanya.

Arizz Sham Hamezah

Menurut Arizz, pemeriksaan tubuh badan suspek telah menjumpai satu peket plastik lut sinar yang berisi serbuk disyaki dadah jenis syabu seberat 0.12 gram dan satu keratan straw lut sinar yang berisi serbuk ketulan disyaki dadah heroin seberat 0.17 gram.

"Pemeriksaan lanjut terhadap motosikal yang ditunggang suspek mendapati nombor enjin telah diganggu, manakala pemeriksaan terhadap nombor pendaftaran tersebut mendapati motosikal itu pernah dilaporkan hilang di daerah Merbok," katanya.

Arizz berkata, suspek yang berasal dari Kampung Kuala Rimau, turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Kes disiasat bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Bahaya 1952 dan seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri motosikal.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment