Pas dah 'move on'?
MENYINGKAP sejarah Pas, muktamar demi muktamar nampaknya parti Islam ini sudah 'move on' pada Muktamar Pas ke-64 di Kuala Terengganu selepas tig tahun insiden perpecahan dalaman.
Jika dibandingkan dengan kemuncak muktamar di Kuala Selangor pada 2015 di mana keputusan pemilihan menolak kem bekas Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang sekaligus menyebabkan sebilangan ahli Pas turut angkat kaki, muktamar kali ini begitu tenang.
Malah kehadiran rombongan pimpinan Umno yang diketuai presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke majlis perasmian muktamar ini juga seolah-olah diterima dengan hati terbuka.
Tidak ada langsung perwakilan mahupun pemerhati yang membantah kehadiran mereka.
Mungkin mereka sudah pun benar-benar menerima keputusan parti atau membantah di dalam hati sesuai dengan budaya Melayu yang menghormati pemimpin dan tetamu.
Cuma isu Pas-Umno ini sedikit terasa bahangnya ketika perbahasan Pemuda Pas di mana ada perwakilan yang menyatakan kebimbangan dan meletakkan syarat sekiranya Pas benar-benar mahu bersama Umno.
Malah usul berkaitan hubungan kedua parti itu yang dibawa juga dipinda sebelum diterima dan dibawa ke Muktamar Pas Pusat.
Naib Presiden Pas sebak
Sebahagian pembahas baik Muslimat, Pemuda mahupun Dewan Ulamak Pas masing-masing tidak begitu menyentuh cerita lama. Bukan tidak ada langsung, sedikit-sedikit itu ada namun lebih kepada mengingatkan peristiwa pimpinan meninggalkan jemaah itu pernah berlaku.
Cuma, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad sedikit beremosi ketika menyentuh soal isu tarbiah yang dikatakannya berjaya membentuk ahli istiqamah dalam perjuangan meskipun ada pimpinan parti yang lari.
Beliau dilihat beberapa kali menahan air mata jantannya daripada gugur saat berbicara tentang sahabat-sahabat lamanya yang berpaling tadah.
Muktamar ketiga tanpa Mat Sabu
Kini, sudah masuk muktamar ketiga berjalan tanpa kehadiran Mat Sabu yang sebelum ini sering dilihat sebagai penyeri muktamar lebih-lebih lagi ketika menyampaikan ucapan dengan begitu bersemangat.
Muktamar kali ini masih hangat namun tenang dengan ucapan penuh berisi daripada barisan kepimpinan parti.
Jika diperhati sepanjang perjalanan muktamar ini, baik Pemuda, Dewan Ulamak Pas dan muktamar penuh, pimpinan serta pembahas kerap kali menekankan soal keperluan ahli menerima juga menghormati keputusan pemimpin yang dipercayai menjurus kepada kerjasama Pas-Umno.
Mungkin mereka bimbang ada ahli yang membantah atau mempertikai keputusan pimpinan.
Namun jika dilihat kepada reaksi perwakilan saat tiap kali perkara ini dibangkitkan nampaknya mereka menerima nasihat tersebut.
Usul memberi mandat kepada Majlis Syura Ulamak untuk membuat keputusan juga diluluskan selepas dibahaskan pada hari terakhir muktamar.
Hanya kerjasama bukan terikat
Cuma seperti yang disebut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, hubungan kerjasama Pas-Umno ini hanya atas konsep ta'awun bukan tahaluf siyasi di mana mereka tidak terikat dengan apa-apa perjanjian.
Idris dalam ucapan penggulungannya sempat menegaskan pimpinan Pas yang ada hari ini dijamin tidak akan mengkhianati kepercayaan yang diberikan ahli.
Malah Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut memberi jaminan dan menasihatkan ahli agar tidak risau kerana sebarang keputusan dibuat dengan berbincang.
Mungkin akhirnya, selepas muktamar kali ke-64 yang berakhir semalam, ahli Pas boleh menarik nafas lega serta tidak terlalu bimbang tentang kerjasama Pas-Umno ini.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment