Nombor siri pada misil bukti ia milik Ukraine: Rusia

Monday, September 17, 2018

Nombor siri pada misil bukti ia milik Ukraine: Rusia

Nombor siri pada misil bukti ia milik Ukraine: Rusia

MOSCOW - RUSIA. Nombor siri pada serpihan misil Buk yang menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 17 Julai 2014 di timur Ukraine menunjukkan ia dihasilkan pada tahun 1986, kata tentera Rusia sambil menambah misil tersebut adalah milik Ukraine.

Menurut pasukan penyiasat antarabangsa yang diketuai oleh Belanda, terdapat dua nombor siri pada serpihan peluru berpandu yang menembak jatuh pesawat MH17. Nombor bersiri berkenaan ditandakan pada bahagian enjin dan muncung peluru berpandu.

Bercakap kepada wartawan dalam satu sidang media hari ini, Jeneral Nikolay Parshin memaklumkan, berdasarkan nombor siri itu, tentera Rusia berjaya mengesan sebuah misil dengan nombor siri pengeluar 8868720, sebuah dokumen yang menjejak misil Buk terbabit turut didedahkan.

Menurut dokumen terbabit, misil tersebut dihasilkan di sebuah kilang tentera di Dolgoprudny, wilayah Moscow pada 1986.

Namun, pada 29 Disember 1986, misil itu dihantar kepada unit tentera 20152  terletak di Ukraine. Unit itu kini dikenali sebagai rejimen ke-223 pertahanan anti-pesawat, pasukan bersenjata Ukraine.

Parshin mengatakan, unit itu dilaporkan mengambil bahagian dalam kempen pihak Kiev terhadap pemberontak di timur Ukraine pada Jun 2014.

Laporan kementerian pertahanan berkata, bukti terbabit menyangkal dakwaan Ukraine dan pelbagai pihak lain yang menuduh Rusia bertanggungjawab ke atas insiden MH17.

Pihak tentera Rusia juga dikatakan telah menghantar kesemua bahan bukti kepada penyiasat Belanda.

Sementara itu, tentera turut mencabar rakaman video yang digunakan organisasi kewartawanan, Bellingcat, berpangkalan di United Kingdom bagi menyokong dakwaan misil BUK-TELAR tersebut dilancarkan oleh Rusia.

Kementerian Pertahanan Rusia menunjukkan klip video mengandungi bahagian rakaman tersebut yang didapati tidak konsisten, ia jelas menunjukkan rakaman telah dimanipulasi bagi menyiarkan gambar peluru berpandu ke latar belakang yang tidak ada pada asalnya.

Seterusnya, pihak pertahanan Rusia mendapati rekod komunikasi antara pegawai Ukraine pada 2016, membincangkan risiko penerbangan melalui ruang udara terhad di Ukraine.

Antaranya, perbualan Kolonel Ruslan Grinchak, yang berkhidmat dalam briged yang bertanggungjawab ke atas kawalan radar ruang udara Ukraine.

Unit Grinchak, menjejak penerbangan MH17 pada 2014, dan beliau mungkin mempunyai maklumat berhubung insiden yang tidak didedahkan kepada umum.

Jeneral Igor Konashenkov pula berkata, Ukraine gagal untuk menyediakan data radar dari stesen miliknya kepada penyiasat Belanda. Beliau turut mengingatkan bahawa dokumen milik unit 20152 berkaitan misil tersebut boleh digunakan dalam siasatan, kecuali Kiev mendakwa dokumen itu telah tiada.

Bagaimanapun, Konashenkov menekankan peraturan mengkehendaki dokumen itu masih berada dalam simpanan Ukraine.

Tragedi MH17 membabitkan pesawat Boeing B777 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu, meragut nyawa kesemua 298 penumpang, kebanyakannya warga Belanda.

Moscow percaya, siasatan Kumpulan Penyiasat Bersama (Joint Investigation Team) yang diketuai oleh Belanda, adalah berat sebelah kerana gagal mendapatkan bukti penting dari Ukraine dan hanya bergantung kepada sumber yang diragui serta membelakangkan bukti yang diberikan Rusia. - rt.com



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment