Modul poligami: Beri kefahaman bukan galakkan
IPOH - Modul poligami yang bakal diperkenalkan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) perlu berperanan memberi kefahaman dan pendidikan bukan menggalakkan.
Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Perak, Mohammad Hafez Ardhi@Ardzi berkata, langkah itu bagi memastikan program berkenaan mempunyai objektif yang jelas dan bertepatan dengan situasi semasa yang berperanan membantu institusi perkahwinan.
"Perlu diakui kebanyakkan institusi keluarga tidak dapat diselamatkan asbab kurang pendidikan dalam konsep mahu berpoligami. Maka di situ bermula isteri mengamuk, si suami seronok menduakan.
"Di sinilah masyarakat perlu dididik dengan Surah An Nur di mana surah ini memberi penekanan secara am tentang adab-adab sosial dan kekeluargaan secara khusus," katanya.
Beliau berkata, Jaipk sentiasa berusaha membawa isu ke dalam bentuk modul untuk melahirkan masyarakat Negeri Perak yang lebih berpendidikan dan bertaqwa.
"Usaha jabatan itu mendepani isu munakahat ini adalah suatu yang baik dan memahami masalah masyarakat di samping dapat membantu mengurangkan masalah sosial," katanya
Mengulas mengenai program e-Jodoh Mohammad Hafez berkata, ia merupakan inisiatif yang baik membantu golongan belum berkahwin untuk mencari pasangan.
"Teknologi satu cara yang baik dalam membantu memudah cara program tetapi perlu dipastikan sistem diawasi dengan baik dan benar-benar mengikut objektif pelaksanaan program," katanya.
Bagi kakitangan awam, Suhana Mahbob, 38, sistem e-Jodoh dan modul poligami yang diperkenalkan oleh Jaipk tidak dipersetujui kerana bimbang ia disalah guna individu tidak bertanggungjawab.
"Maksud saya di sini adalah lelaki yang sudah berkahwin dan mereka boleh menipu untuk berkahwin dengan mengatakan bujang tanpa mendapatkan keizinan isteri pertama.
"Jadi saya tidak bersetuju lebih-lebih lagi modul poligami," katanya.
Namun bagi eksekutif sebuah syarikat swasta, Mohd Riduan Ismail, 28, sistem e-Jodoh yang diperkenalkan Jaipk itu sesuatu yang baik buat individu bujang sepertinya mencari jodoh.
"Tetapi bila bab poligami tu saya kurang setuju dan ia memerlukan kajian mendalam sebelum diperkenalkan kerana ia melibatkan soal sensitiviti kaum hawa.
"Kalau benar nak buat modul poligami mungkin hanya perempuan yang layak sahaja boleh mendaftar seperti ibu tunggal yang hidup susah dibantu melalui perkahwinan," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment