Kes tuntung: Tak timbul isu pilih kasih
KLANG - "Tiada timbul isu pilih kasih dalam kes menyelamatkan seekor tuntung yang tular baru-baru ini dan hanyalah salah faham," demikian penjelasan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Selangor, Kolonel (PA) Ghazali Abd Rahman.
Menurutnya, hasil siasatan dibuat mendapati panggilan orang awam itu dipercayai terus kepada ibu pejabat APM negeri dan bukannya talian kecemasan 999.
"Jadi timbul salah faham daripada pengadu kerana APM sentiasa mengikut operasi standard (SOP) yang diterima menerusi panggilan di talian kecemasan 999.
"Bagaimanapun saya sudah mengeluarkan memo berhubung isu ini dan memaklumkan mana-mana petugas yang menerima aduan tak kira dari pihak pejabat mahupun bilik gerakan perlu memanjangkan kepada pihak berkenaan untuk respons pantas," katanya.
Tegasnya, APM tidak pernah mengambil sikap pilih kasih dalam melaksanakan tugas dan siap sedia untuk membantu khidmat kemanusian dan kes lain.
"Bukan saja kes tuntung, APM banyak menerima kes haiwan liar dan merbahaya selain operasi mencari serta menyelamat mangsa banjir, kebakaran, lemas dan sebagainya.
"Masyarakat juga dinasihatkan supaya lebih peka terhadap kegunaan talian kecemasan 999 ini dan tidak menyalahkan mana-mana pihak jika berlaku kejadian tidak diingini pada masa akan datang.
"Setiap panggilan kecemasan menerusi talian 999 itu dikendalikan secara efisien agensi yang berkaitan dan akan membantu dan menentukan kecepatan petugas dalam memberi maklum balas setiap kes kecemasan yang diterima," katanya.
Sebelum ini, timbul dakwaan mengatakan APM bersikap pilih kasih dan lepas tangan berhubung aduan untuk menyelamatkan seekor tuntung yang cedera akibat tersangkut mata kail di Taman Tasik Shah Alam.
Insiden itu dikatakan mencetuskan pelbagai reaksi netizen dalam laman sosial Facebook apabila tular APM tidak melayan panggilan kecemasan tersebut dengan akhirnya hanya pihak bomba sahaja membantu haiwan terbabit.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment