Gerun bunyi ribut, penduduk laung azan
KUALA PERLIS - Tidak sampai dua bulan menggantikan atap zink, lapan sekeluarga di Kampung Wai di sini, terpaksa berputih mata apabila hampir keseluruhan bumbung rumah mereka diterbangkan angin kuat dalam kejadian ribut yang melanda banyak kawasan di Perlis malam tadi.
Natrah Ahmad, 50, berkata kos menukar keseluruhan bumbung rumahnya menelan belanja lebih RM4,000 dan bagi keluarganya, jumlah itu sangat besar memandangkan suaminya hanya bekerja sebagai buruh kampung.
"Sudahlah bumbung diterbangkan ribut, barang-barang dalam rumah pun habis rosak sebab selepas bumbung tercabut kami sekeluarga hanya fikir nak selamatkan diri, cari tempat berlindung.
"Kejadian berlaku kira-kira 9 malam... saya sedang masak dan ahli keluarga lain berborak di depan rumah. Masa tu hujan renyai-renyai saja tapi angin kuat tiba-tiba datang angkat bumbung rumah kami," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Katanya, ketika bumbung âdikopakâ angin, bunyinya sangat kuat serta menggerunkan dan mereka semua lari dalam keadaan ketakutan dan panik.
Menurut Natrah, mereka sekeluarga termasuk dua cucunya kini menumpang di rumah abangnya yang tinggal di kawasan berhampiran.
Sementara itu suaminya Ridzuan Om, 49, berkata semasa angin kuat, dia sempat melaungkan azan agar ribut segera reda.
"Angin kuat datang dua kali, mula-mula angkat bumbung bahagian depan, angin kuat kali kedua datang selepas saya azan dan angkat hampir keseluruhan bumbung rumah kami. Tiada apa yang dapat kami selamatkan, rumah pun sudah tidak ada pelindung lagi tapi saya bersyukur sebab semuanya selamat," katanya.
Menurutnya laporan polis sudah dibuat dan pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat juga sudah membuat tinjauan ke rumah mereka.
Selain itu, katanya perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis, Nor Azam Karap untuk tindakan lanjut.
Hujan lebat serta angin kencang yang melanda hampir sejam di negeri ini kira-kira pukul 10 malam tadi menyebabkan kerosakan banyak rumah dan kemudahan awam, kemalangan yang meragut nyawa serta banyak pokok tumbang selain gangguan bekalan elektrik.- Bernama.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment