Usaha martabatkan bahasa Melayu mungkin sukar: Kok Seong
SHAH ALAM - Usaha Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dengan memperkasakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkemungkinan sukar sekiranya kesedaran dan kecintaan bahasa dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah.
Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, masyarakat pada hari ini memandang sepi bahasa tersebut walaupun telah diangkat menjadi bahasa negara.
Menurutnya, penggunaan DBP sebagai medium meningkatkan rasa sayang Bahasa Melayu seperti yang disuarakan Maszlee juga sukar sekiranya aktiviti yang dirancang tidak mendapat sokongan.
âBagi saya menggunakan DBP itu boleh dan tidak boleh untuk memperkasakan bahasa Melayu. Boleh kerana DBP merupakan satu-satunya agensi yang ditubuhkan dan saluran paling penting memartabatkan bahasa itu.
âTetapi, tak cukup dengan hanya peranan yang dimainkan DBP, maksudnya masyarakat juga penting. Kalau DBP memperkenalkan beberapa aktiviti dan dasar, tetapi tidak disambut baik masyarakat, saya kira tak ke mana juga usaha tersebut,â katanya.
Sebelum ini, Maszlee dalam Bicara Minda Sinar Harian menggariskan beberapa janjinya antaranya adalah meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dengan memperkasakan DBP.
Mengulas lanjut, kata Kok Seong, selain DBP memperkenalkan aktiviti dan dasar tertentu, agensi tersebut juga perlu mempunyai rancangan untuk mengubah sikap masyarakat di negara ini.
Katanya, perancangan itu perlu menyeluruh, bukan hanya kepada orang Melayu tetapi juga kepada bangsa lain di negara ini.
âKesedaran dalam masyarakat, rata-ratanya tiada. Apa yang perlu dibuat, pertamanya memupuk rasa bangga kepada bahasa Melayu, selepas usaha bangga itu berjaya dipupuk, kemudian pupuk rasa sayang dan akhirnya sudah tentu rakyat setia kepada bahasa Melayu.
âSeperti yang berlaku di Indonesia, rakyat mereka bangga, sayang dan setia kepada bahasa Melayu. Kalau nak dibandingkan dengan kita, seperti langit dan bumi,â katanya.
Kok Seong turut mengambil contoh sikap acuh tak acuh kaum Cina di negara ini terhadap bahasa Melayu.
âRata-rata dalam kalangan kaum Cina, mereka menganggap bahasa Melayu sebagai bahasa Orang Melayu sahaja. Jadi, mereka anggap tidak penting untuk mereka bertungkus-lumus menguasai dan kembangkannya.
âDalam kes pelaksanaan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), respons kaum Cina di media sosial contohnya begitu menghampakan, nampak sangat mereka tak faham bahawa bahasa Melayu itu dilihat dalam konteks bahasa negara dan amat penting di negara ini,â katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment